Eredivisie mungkin ditamatkan

THE HAGUE, 22 APRIL – Persatuan Bolasepak Belanda (KNVB) mengumumkan kelmarin mereka berhasrat untuk menamatkan musim ini, tertakluk kepada perbincangan dengan UEFA,berikutan dengan keputusan kerajaan untuk melanjutkan larangan perkumpulan besar-besaran sehingga bulan September kerana pandemik koronavirus.

“Komiti bola sepak profesional berhasrat untuk tidak meneruskan perlawanan kejohanan 2019/2020. KNVB akan berunding denga UEFA, selepas itu baru keputusan akan diambil,” persatuan berkata dalam kenyataan.

Kelab-kelab dan pihak-pihak berkepentingan akan mengadakan perjumpaan pada hari Jumaat untuk membincangkan kesan dari keputusan yang akan dibuat.

Kini berbaki tinggal lapan perlawanan di Eredivisie, dengan juara bertahan Ajax mendahului AZ Alkmaar menerusi perbezaan gol. Final Piala Dutch sepatutnya dijadualkan pada 19 April.

Menurut KNVB, perlawanan tanpa kehadiran peminat adalah sesuatu yang mustahil kerana mereka menganggap perlawanan memerlukan permit dan kehadiran polis.

“Tidak akan ada perlawanan sebelum 1 September,” tambahnya.

Liga utama Belanda dan divisyen dua telah digantungkan sejak 12 Mac.

Kelmarin, badan pengurusan bola sepak Eropah, UEFA, telah membuat satu ‘saranan tegas’ untuk menghabiskan kejohanan domestik selepas mengadakan konferensi video dengan 55 orang ahli kesatuan.

Walau bagaimanapun, ia menambah ‘beberapa buah kes khas akan dipertimbangkan apabila garis panduan berkenaan penyertaan ke kejohanan Eropah – jika liga dibatalkan – telah ditubuhkan.

UEFA berkata sebarang keputusan akan diumumkan selepas perjumpaan komiti eksekutif esok. Sebelum itu. satu perjumpaan akan diadakan dengan Persatuan Kelab Eropah (ECA) dan kumpulan Liga Eropah, yang mana mewakili hampir 1,000 buah kelab di 29 buah negara, hari ini.

Belgium dan Scotland turut menunggu kebenaran dari UEFA untuk membatalkan musim mereka.

Larangan perkumpulan juga turut menjejaskan Grand Prix Formula Satu Belanda, yang bakal kembali di dalam kalender buat kali pertama sejak 1985, dan perlumbaan MotoGP di Assen yang dijadualkan pada 28 Jun. – AFP