Eric Abidal disoal siasat mahkamah

VERSAILLES, PERANCIS, 16 NOV – Bekas pemain bintang Barcelona dan Perancis, Eric Abidal mungkin akan disoal siasat oleh majistret yang menyiasat kes memukul pemain bintang wanita Paris Saint-Germain, Kheira Hamraoui, menurut AFP kelmarin.

Polis menyerahkan siasatan kepada pendakwa raya di Versailles di luar Paris kelmarin.

Mencari petunjuk baharu dalam kes itu selepas rakan sepasukan Hamraoui, Aminata Diallo dibebaskan daripada tahanan tanpa pertuduhan, didapati Hamraoui menggunakan kad SIM telefon yang didaftarkan atas nama Abidal pada malam serangan itu.

Hamraoui baru-baru ini kembali ke PSG selepas tiga musim di Barcelona, di mana Abidal menjadi pengarah bola sepak dari 2018-2020.

Abidal adalah nama terkenal di Perancis selepas bertahun-tahun sebagai pemain Barcelona dan antarabangsa Perancis. Dia membuat kepulangan meneruskan karier sebagai pemain selepas menjalani pemindahan hati pada 2012.

Kelmarin, pihak pendakwa memberitahu AFP bahawa Abidal “hanyalah satu petunjuk antara semua”, tetapi enggan menolak menyoal isteri Abidal, Hayet.

Serangan ke atas Hamraoui berlaku semasa dia dibawa pulang oleh Diallo pada 4 November.

Kereta mereka dihalang oleh lelaki bertopeng yang mengheret pemain tersebut dari kenderaan dan memukul kaki Hamraoui dengan palang besi sambil menahan Diallo.

Hamraoui yang berusia 31 tahun memerlukan jahitan dan Diallo, yang tidak cedera, bermain di posisinya dalam perlawanan berikut PSG. – AFP

Setiausaha teknikal Perancis Barcelona, Eric Abidal menghadiri sidang media di stadium Camp Nou. – AFP