Tuesday, April 16, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Eriksen ‘gembira’ sertai semula pasukan Denmark

    MARBELLA, SEPANYOL, 24 MAC – Christian Eriksen berkata hari ini dia ‘amat gembira’ dapat menyertai semula pasukan Denmark, sembilan bulan selepas mengalami jantung terhenti.

    Eriksen telah dikaitkan sekali lagi dengan pasukan kebangsaan sebelum perlawanan persahabatan menentang Belanda di Amsterdam pada Sabtu dan Serbia di Copenhagen pada Selasa.

    “Saya berasa amat gembira dan teruja dapat kembali bersama pasukan kebangsaan sekali lagi. Saya tidak beraksi untuk masa yang agak lama, maka saya amat gembira dapat kembali,” kata pemain tengah itu di Marbella, di mana skuad Denmark sedang menjalani latihan.

    Eriksen mengalami jantung terhenti dalam perlawanan pembukaan Kejohanan Eropah di antara Denmark dan Finland di Copenhagen Jun lalu.

    Dia terpaksa diberi pertolongan cemas di padang, terbaring tidak sedarkan diri selama beberapa minit ketika penonton dan jutaan penonton televisyen di seluruh dunia menyaksikan episod mendebarkan itu.

    Eriksen menghabiskan beberapa hari di hospital dan terpaksa memasang perentak jantung untuk mengawal denyutan jantungnya.

    Eriksen, penjaring 36 gol dalam 109 penampilan untuk Denmark, membatalkan kontraknya dengan Inter Milan atas persetujuan bersama pada Disember kerana peraturan liga Itali melarang pemain dengan perentak jantung.

    Dia mencatat kepulangan ke kelabnya pada 26 Februari untuk pasukan Liga Perdana Inggeris Brentford.

    Eriksen berkata dia ‘bernasib baik dengan diagnosis doktor. Segala-galanya berjalan lancar untuk kembali bermain dan sudah tentunya ia memberi dorongan kepada saya untuk menjalani kehidupan seperti biasa.” – AFP

    Christian Eriksen (kiri) mengambil bahagian dalam sesi latihan di Pusat Bola Sepak Marbella di San Pedro de Alcantara kelmarin, sebelum perlawanan menentang Belanda. – AFP
    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Iran tutup sementara kemudahan nuklear

    TEHRAN, 16 APRIL – Iran menutup sementara kemudahan nuklearnya atas ‘pertimbangan keselamatan’ susulan serangan peluru berpandu dan dron besar-besarannya ke atas Israel pada hujung...