Eriksen tinggalkan Inter Milan

MILAN, 24 NOV – Perpindahan impian Christian Eriksen ke Inter Milan tampak berakhir dengan bekas pemain perancang tengah Tottenham Hotspur itu meminta untuk meninggalkan kelab gergasi Itali itu hanya selepas 10 bulan beraksi di Serie A.

Pemain antarabangsa Denmark itu tiba dengan kontrak perjanjian satu setengah tahun bernilai 20 juta Euro (AS$23 juta) serta tambahan 7.5 juta euro sebagai bonus pada Januari lalu.

Namun sepanjang tahun yang dihimpit pandemik COVID-19, pemain berusia 28 tahun itu gagal mempamerkan persembahan terbaik seperti ketika di Spurs, di mana dia menjaringkan 69 gol dan mempunyai 89 kali assist gol dalam 305 penampilannya bersama Spurs atau bersama Denmark.

“Ia bukan seperti apa yang saya impikan,” kata Eriksen yang gagal mendapat kepercayaan jurulatih, Antonio Conte.

“Ramai yang mahu melihat saya beraksi dan saya juga mahu melakukan perkara sama, tetapi jurulatih mempunyai pandangan berbeza dan saya harus menghormati mereka.”

Aksi Christian Eriksen (tengah) semasa perlawanan bola sepak Liga Bangsa-Bangsa UEFA antara Denmark dan Iceland, di Copenhagen, Denmark, pada 15 November lalu. – AP

Pemain Denmark itu sudah beraksi tujuh perlawanan musim ini, empat sebagai kesebelasan utama namun gagal bertindak untuk gerakan menghasilkan gol atau meledak jaringan.

Secara keseluruhan dia menjaringkan empat gol buat Inter dalam 33 perlawanan.

“Kami sepatutnya tidak menyimpan pemain yang meminta untuk perpindahan,” kata CEO kelab itu, Giuseppe Marotta yang mengesahkan hasrat Eriksen. Conte pula menegaskan Eriksen mempunyai banyak peluang dan beraksi lebih daripada yang lain.

“Pilihan saya adalah yang terbaik bagi Inter,” kata bekas jurulatih Chelsea itu.

Salah satu masalah yang dihadapi Eriksen adalah Inter mempunyai banyak pilihan di barisan tengah dan pemain tengah menyerang.

Pada masa sama Eriksen dikaitkan dengan perpindahan ke juara Perancis, Paris Saint-Germain atau kembali ke Liga Perdana bersama Arsenal atau Manchester United. – AFP