Eropah bersedia kurangi sekatan akibat COVID-19

MADRID, 3 MEI – Eropah hari ini bersedia untuk mengurangkan sekatan koronavirus selepas penduduk Sepanyol telah membanjiri jalan-jalan untuk berjoging, berbasikal dan bermain kasut roda buat kali pertama selepas 48 hari dalam perintah berkurung.

Lebih dari 242,000 orang telah terbunuh sementara 3.5 juta orang telah dijangkiti di seluruh dunia oleh virus tersebut, di mana hampir separuh penduduk dunia berada di bawah perintah berkurung dan menyebabkan kemerosotan ekonomi global terburuk sejak kemelesetan lalu.

Dengan tanda-tanda penularan jangkitan telah dapat dikawal, beberapa bahagian Eropah dan Amerika Syarikat telah mula mengurangkan sekatan untuk cuba memulihkan ekonomi yang lumpuh selama berminggu-minggu disebabkan penutupan dan meredakan tekanan kepada orang ramai yang merasa bosan dan terkurung.

Selepas perintah berkurung selama dua bulan di Itali – kematian kedua tertinggi di dunia disebabkan oleh virus – orang ramai pada Isnin lalu dibenarkan untuk berjalan-jalan di taman-taman dan melawat saudara mara. Restoran telah dibuka semula bagi perkhidmatan bawa pulang dan kedai-kedai runcit memulakan semula perniagaan.

Di Hungary, beberapa buah kedai dan muzium, ruang luar restoran-restoran dan hotel-hotel, pantai-pantai dan kolam-kolam mandi telah dibuka semula pada Isnin lalu – tetapi sekatan kekal di ibu kota Budapest, yang merekodkan 70 peratus daripada kes di negara itu.

Jerman juga turut mengurangkan sekatannya pada permulaan minggu ini, dengan sekolah-sekolah di beberapa buah kawasan dijangka akan dibuka semula, sementara Slovenia dan Poland membenarkan beberapa buah perniagaan dan tempat-tempat awam untuk beroperasi semula.

Tetapi pakar kesihatan memberi amaran bahawa wabak tersebut boleh kembali semula dan menyarankan supaya mematuhi langkah penjarakan sosial, menggunakan penutup hidung dan mulut serta melakukan lebih banyak ujian untuk menjejak jangkitan.

“Kita mesti mengekalkan penjarakan sosial, tahap kebersihan yang maksimum, dan memakai penutup muka dan hidung. Kami telah melakukan tugasan kami dengan sebaik mungkin,” kata pegawai tindak balas kecemasan Itali, Domenico Arcuri. – AFP

Seorang lelaki sedang berbasikal di Dataran Trastevere di Rom. Negara-negara Eropah bersedia untuk meredakan sekatan koronavirus dengan membenarkan orang ramai berjalan-jalan di taman-taman. – AFP