Eropah kuasa Piala Dunia

PARIS, 26 JUN – Penalti minit akhir Lieke Martens membawa Belanda ke suku akhir Piala Dunia Wanita awal pagi tadi untuk menyertai Itali sekali gus mengesahkan penguasaan Eropah pada kejohanan itu dan menamatkan cabaran negara Asia.

Skuad Orange mengatasi Jepun 2-1 untuk menempah tiket suku akhir menentang Itali di Valenciennes, Sabtu ini. Itali menundukkan China 2-0 pada aksi terdahulu menerusi gol Valentina Giacinti dan Aurora Galli.

Keputusan itu bermakna tujuh daripada lapan pasukan pada suku akhir di Perancis adalah negara Eropah, kecuali juara bertahan dan pasukan pilihan Amerika Syarikat. Tidak pernah sebelum ini lebih lima pasukan Eropah mara ke suku akhir Piala Dunia Wanita.

Penyingkiran awal itu amat memeritkan buat Jepun, yang memenangi Piala Dunia pada 2011 dan naib juara empat tahun lalu di Kanada.

Nadeshiko terluka di Rennes apabila bintang Barcelona, Lieke menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-90 yang diberikan apabila percubaan Vivianne Miedema terkena tangan kapten Saki Kumagai dalam kotak penalti.

Lieke Martens (kiri) meraikan jaringan semasa menentang Jepun di Stadium Roazhon Park, Rennes, kelmarin. – AFP

Juara Eropah itu, yang kalah dengan jaringan sama di tangan Jepun pada pusingan 16 terakhir pada 2015, layak ke suku akhir buat kali pertama.

“Kami melakar sejarah. Kami amat bangga mengenainya tetapi tugas kami belum selesai lagi di sini. Kami tidak sabar menanti perlawanan berikutnya dan harap boleh mencipta kejutan lagi,” kata Lieke.

Dia memberikan Belanda gol pendahuluan pada minit ke-17 dengan kuisan menggunakan tumit mengagumkan ke dalam gol susulan sepakan sudut Sherida Spitse, namun Jepun berjaya menyamakan kedudukan sejurus sebelum rehat apabila Yui Hasegawa menyudahkan hantaran Mana Iwabuchi.

Masa tambahan semakin menghampiri apabila pengadil dari Honduras menghukum Saki, yang tidak dapat mengelak percubaan tepat ke arah gol itu.

“Ia memang penalti, ia terkena tangan saya. Sudah tentu ia amat sukar untuk diterima. Saya sedih tapi saya sedar inilah bola sepak,” kata Saki sambil menangis.

Ia kali pertama tiada pasukan Asia layak ke suku akhir Piala Dunia Wanita dengan naib juara 1999, China tersingkir selepas tewas 0-2 di tangan Itali di Montpellier.

Tampanan mudah Valentina pada minit ke-15 dan rembatan kencang pemain gantian Aurora tiga minit selepas rehat menyaksikan anak buah Milena Bertolini menenggelamkan cabaran China dan menyamai pencapaian terbaik Itali pada 1991.

“Hari ini bukannya persembahan bola sepak yang menarik tetapi pemain saya melakukan segala-galanya dan kami klinikal,” kata Milena kepada Rai TV. “Untuk layak ke suku akhir terlalu memuaskan.” – AFP