Eropah mahukan pelan pandemik lebih baik

BRUSSELS, 10 JUN – Negara-negara paling berpengaruh di Eropah menggesa Kesatuan Eropah (EU) supaya lebih bersedia menghadapi pandemik seterusnya akibat COVID-19, memandangkan Moscow kini tidak lagi mengenakan sekatan pergerakan biarpun Rusia masih lagi dicengkam wabak itu.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Canselor Jerman, Angela Merkel dalam satu surat dan kertas dasar kepada pegawai tertinggi EU berkata, Eropah perlu mempunyai ‘pendekatan tetap’ untuk berdepan wabak seperti COVID-19 pada masa akan datang.

Eropah antara benua yang paling teruk terkesan dengan jumlah kematian mencecah 185,000 orang dan kebanyakan pemimpin menyatakan kurang koordinasi bersama menyebabkan negara berdepan kekurangan peralatan perubatan apabila COVID-19 muncul.

Biarpun Eropah mencatatkan rekod buruk dan kes baharu dan kematian masih meningkat, namun kebanyakan negara di benua itu sudah mengakhiri sekatan pergerakan, antaranya Cyprus mengalukan penerbangan pelancong, Perancis pula mengumumkan Menara Eiffel dibuka semula dan penduduk di ibu negara Rusia berpusu-pusu ke taman.

Namun, pengkritik menyatakan bahawa kematian tidak dilaporkan secara rasmi kerana ingin bebas daripada sekatan atas kepentingan politik.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) memberi amaran bahawa rasa berpuas hati adalah ancaman terbesar bagi negara yang pandemiknya semakin berkurangan, seperti di Delhi, India yang menjangkakan kes akan meningkat 20 kali ganda selepas kerajaannya mengurangkan sekatan setelah dilaksanakan selama 10 minggu.

Sementara itu, Ketua Pendakwa Raya Paris berkata beliau telah melancarkan kertas siasatan mengenai cara pengendalian Perancis ke atas penularan wabak COVID-19 dengan kemungkinan tuduhan termasuk ‘pembunuhan tidak disengajakan’ dan ‘membahayakan nyawa’.

Secara keseluruhannya, sebanyak 407,000 kematian dan lebih daripada tujuh juta jangkitan COVID-19 telah dilaporkan di seluruh dunia setakat ini. – AFP