Eropah mulakan vaksinasi ke atas penduduk

PARIS, 27 DIS – Beberapa buah negara Kesatuan Eropah (EU) telah memulakan vaksinasi ke atas golongan yang paling terdedah ketika varian baharu koronavirus merebak secara global dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran pandemik berlaku ketika ini tidak akan menjadi yang terakhir.

Dos pertama Pfizer-BioNTech tiba di negara yang teruk terjejas iaitu Itali, Sepanyol dan Perancis kelmarin, sedia untuk diagihkan ke rumah penjagaan orang tua dan kakitangan penjagaan kesihatan. Kelulusan dan pengagihan vaksin meningkatkan harapan bahawa 2021 mungkin menghentikan pandemik, yang telah membunuh lebih dari 1.7 juta orang sejak mula dikesan di China penghujung tahun lalu.

Walau bagaimanapun, video pesanan dihantar menjelang Persediaan Hari Epidemik Antarabangsa pertama, di mana Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata inilah masanya untuk belajar dari pengajaran pandemik COVID-19.

“Sejarah memberitahu kita bahawa ini bukan pandemik yang terakhir, dan epidemik adalah fakta kehidupan,” kata Tedros.

“Sebarang usaha untuk memperbaiki kesihatan manusia tidak akan dapat terlaksana kecuali mereka menangani hubung kait kritikal antara manusia dan haiwan, dan ancaman sedia ada terhadap perubahan iklim akan menjadikan Bumi semakin sukar dihuni,” tambahnya.

Seorang wanita berusia 101 tahun di rumah penjagaan menjadi individu pertama di Jerman untuk mendapatkan suntikan kelmarin, di mana menteri kesihatan menyifatkannya sebagai ‘hari harapan’.

Suntikan pertama turut diberikan kepada Hungary dan Slovakia. Tiga buah negara yang menyertai China, Rusia, Britain, Kanada, Amerika Syarikat, Switzerland, Serbia, Singapura dan Arab Saudi, telah memulakan kempen vaksinasi.

“Kami akan mendapatkan semula kebebasan kami, kami akan kembali disatukan,” kata Menteri Luar Itali, Luigi Di Maio berkata ketika dia menyeru rakan senegaranya untuk mendapatkan suntikan.– AFP

Kakitangan pusat penjagaan kesihatan di Itali memberikan suntikan vaksin COVID-19 kepada warga emas selepas vaksin Pfizer-BioNTech tiba di negara tersebut. – AFP