Saturday, August 13, 2022
23.5 C
Brunei

Eropah sekat kemasukan dari Afrika Selatan

-

BERLIN, 26 NOV – Jerman dan Itali hari ini mengikut langkah yang dibuat oleh Britain untuk menggantung kebanyakan perjalanan dari Afrika Selatan ketika kerajaan bergelut untuk menghalang penularan varian baharu COVID-19 dengan mutasi berganda.

Dalam petanda perkembangan yang membimbangkan, Kesatuan Eropah (EU) secara berasingan mencadangkan larangan perjalanan dari selatan Afrika.

Eksekutif EU “akan mencadangkan, dalam penyelarasan rapat bersama negara-negara ahli, untuk mengaktifkan pemberhentian kecemasan perjalanan udara dari wilayah selatan Afrika disebabkan oleh varian membimbangkan B.1.1.529,” menurut ketua EU, Ursula Von der Leyen menerusi Twitternya hari ini.

Sekatan perjalanan baharu Jerman, bermula pada Jumaat malam, akan merangkumi Afrika Selatan dan “berkemungkinan negara jirannya,” menurut Spahn, dengan hanya warganegara Jerman yang dibenarkan untuk memasuki negara.

Mereka mesti menjalani kuarantin selama 14 hari sebaik tiba meskipun sudah menerima vaksin.

Seorang penumpang baru tiba di Lapangan Terbang Heathrow, Britain. Beberapa buah negara Eropah menggantungkan perjalanan dari Afrika Selatan akibat kebimbangan penularan varian baharu B.1.1.529. – AP

“Perkara terakhir yang kami mahukan ketika ini ialah mencatatkan jangkitan varian baharu yang mencetuskan lebih banyak masalah,” kata Spahn, dengan Jerman bergelut untuk membendung gelombang keempat.

Di Rom, pihak kerajaan hari ini mengumumkan ia melarang kemasukan pengembara dari Afrika Selatan, Lesotho, Botswana, Zimbabwe, Mozambique, Namibia atau Eswatini.

Menteri Kesihatan, Roberto Speranza berkata pakar saintis mengkaji varian baharu B.1.1.529, “dan pada masa yang sama, kami akan mengambil langkah berhati-hati maksimum.”

Britain mengumumkan kesemua penerbangan dari Afrika Selatan dan negara-negara jirannya tidak dibenarkan bermula 1200GMT hari ini.

Afrika Selatan mengutuk keputusan Britain.

“Meskipun Afrika Selatan menghormati hak semua negara untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi melindungi penduduknya, keputusan Britain untuk melarang sementara kemasukan dari Afrika Selatan ke UK dilihat sebagai terburu-buru walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia masih belum memberikan nasihat untuk langkah seterusnya,” menurut menteri luar dalam kenyataan. – AFP

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Dua beradik bersatu semula selepas 75 tahun

BHATINDA, INDIA, 12 OGOS – Air mata kegembiraan membasahi pipi seorang pekerja buruh India yang akhirnya bertemu abang tersayang dari Pakistan buat pertama kalinya...
- Advertisment -