‘Erra restu Aleesya jadi pelakon’

Tidak sesekali mengongkong minat, bekas Primadona Filem Melayu, Erra Fazira, 47, akan merestui sekiranya puteri kesayangannya, Engku Aleesya Engku Emran, 12, mahu mengikut jejak langkahnya sebagai anak seni.

Ujar Erra, Aleesya pernah dilamar untuk menjayakan iklan, namun dirinya tidak boleh membuat keputusan, sebaliknya perlu mendapat keizinan bapa Aleesya, Engku Emran Engku Zainal Abidin.

“Sebagai ibu moden, saya tidak mahu menetapkan apa yang boleh dan tidak untuk Aleesya lakukan. Sebaliknya, saya akan menyokong dan mendorong apa sahaja minat Aleesya.

“Sekiranya Aleesya berminat mengikut jejak langkah saya menjadi selebriti sekali pun, tiada masalah kerana saya akan memantau aktivitinya.

“Cuma, dalam apa sahaja perkara membabitkan Aleesya, saya tidak boleh membuat keputusan sendiri. Saya akui, ada sahaja permintaan mengundang Aleesya muncul dalam iklan televisyen, tetapi saya kena bertanya kepada Engku Emran.

Erra Fazira akan merestui sekiranya puteri kesayangannya, Engku Aleesya mahu mengikut jejak langkahnya sebagai anak seni. – Agensi

“Jika saya memberikan ‘lampu hijau’, tetapi Engku Emran tidak setuju, ia tidak boleh juga.

Jadi, apapun kena ada persetujuan bersama,” katanya.

Erra ditemui ketika sidang akhbar drama Gerak Khas Undercover secara virtual bersama TV3, baru-baru ini.

Bekas Miss Malaysia World 1992 itu membawakan watak sama, tetapi kali ini dinaikkan pangkat DSP Jeslina.

Katanya, wataknya kali ini lebih mencabar kerana membabitkan babak dalam pejabat sahaja. Oleh kerana kurang babak aksi, jadi perlu ada kelainan agar kewujudannya dirasai penonton. – Agensi