Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    ESG jana pelaburan mapan

    Oleh Sim Y.H.

    Perjalanan ESG BIBD Securities
    Sejak BIBD Securities memulakan perjalanan Dana Alam Sekitar, Sosial dan Urus Tadbir Korporat (ESG) secara rasmi pada Mei 2021, pelbagai kemajuan dan perkembangan dapat dilihat dalam usahanya dari segi peningkatan keutamaan yang diberikan kepada ESG.

    Pada masa yang sama, perkembangan positif turut menyaksikan penekanan yang diberikan oleh Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) untuk menyumbang kepada matlamat pembangunan mapan.

    Semua itu amat bertepatan di mana pada tahun 2021 merupakan satu mercu tanda yang amat penting bukan sahaja bagi BIBD Securities malahan Kumpulan BIBD secara keseluruhannya yang telah menyaksikan penubuhan Rangka Kerja Kemapanan dengan BIBD Securities sebagai salah satu subsidiari kumpulan yang diselaraskan dengan rangka itu.

    Perkara itu disentuh oleh Pengarah Urusan BIBD Securities Sdn Bhd, Haji Muhammad Yazid bin Dato Paduka Haji Mahadi ketika memberikan penerangan ringkas mengenai perkembangan perjalanan ESG BIBD Securities, baru-baru ini.

    Mengulas perkembangan BIBD Securities dan BIBD Asset Management, beliau berkongsi mengenai nilai-nilai yang diketengahkan iaitu Penyelarasan, Kesinambungan dan Pendidikan (ACE) yang bukan sahaja menekankan pemilihan produk yang betul tetapi memastikan setiap orang dalam BIBD Securities dan BIBD Asset Management mempunyai kesefahaman mengenai pentingnya ESG.

    Haji Muhammad Yazid bin Dato Paduka Haji Mahadi
    Jason Wong

    Perjalanan itu secara ringkasnya menyaksikan pelaksanaan proses pelaburan ESG BIBD AM pada Mei 2021, penjanaan Piagam ESG BIBD (ESG Charter) dan Pasukan Bertindak ESG (ESG Taskforce) pada Jun 2021, BIBD AM menjadi penandatangan kepada UN PRI iaitu entiti pertama di Brunei untuk berbuat demikian pada September 2021, pelancaran Arabesque ESG Fund pada Disember 2021 dan BIBD AM melancarkan Strategi Sukuk ESG pertamanya pada Mei 2022.

    Sambutan terhadap Arabesque ESG Fund
    Arabesque ESG Fund yang diperkenalkan pada lewat 2021 telah menyaksikan sambutan yang menggalakkan dalam kalangan pelabur setelah ESG Fund dan makna ESG diterapkan oleh ahli-ahli BIBD Securities.

    la telah mendapat sambutan lebih baik daripada yang dijangkakan, jelas Haji Muhammad Yazid dengan produk pelaburan itu menjadi pilihan pelabur-pelabur muda dalam kalangan mereka yang bekerja. Dua faktor ia menjadi pilihan kerana ia diuruskan oleh Arabesque, dana ekuiti yang lebih menepati selera risiko bagi pelabur atau generasi muda.

    Namun pada masa ini, terdapat peningkatan jumlah kumpulan pelabur lebih berusia mula menerokainya.

    Faktor kedua ialah strategi pelaburan bagi dana dalam syarikat-syarikat yang mempunyai nilai dan kelayakan yang kuat serta selaras dengan ESG, katanya.

    Semua itu menunjukkan lebih ramai pelabur terutamanya golongan muda di Brunei kini lebih peka kepada keperluan dan pentingnya penyelarasan dalam ESG kepada membuat keputusan pelaburan mereka.

    Strategi ESG Sukuk BIBD AM
    BIBD Asset Management telah melancarkan Strategi Sukuk ESG pertamanya pada Mei 2022 yang merupakan pelaburan strategi ditawarkan kepada klien institusi.

    Strategi Sukuk ESG yang dihasilkan di Brunei di mana BIBD Asset Management melalui pengenalan strategi bermatlamat untuk memberikan pulangan terlaras risiko (risk-adjusted returns) dengan rating ESG yang lebih baik daripada penanda aras.

    Ketua Bahagian Pengurusan Asset Institusi, Jason Wong yang mengongsikan perkara itu, menekankan pelaburan dibuat dalam syarikat-syarikat yang mempunyai nilai-nilai ESG dan yang memberi manfaat kepada komuniti daripada perspektif syariah.

    Jason berkata ia merupakan strategi ESG pertama yang diuruskan sepenuhnya di Brunei dan beliau berbangga dapat membangunkan kepakaran secara dalaman menguruskannya.

    la merupakan satu langkah yang amat penting untuk memacu Brunei ke arah hab kewangan Islam yang unggul dan mengetengahkan komitmen BIBD Securities dan BIBD Asset Management dalam BDCB Financial Sector Blueprint dan Wawasan Brunei 2035.

    Usaha itu, jelas Haji Muhammad Yazid menampakkan keunikkan BIBD Securities dan Kumpulan BIBD sebagai institusi kewangan Islam perdana di Brunei yang meneroka ESG dan Rangka Kerja SDG (Matlamat Pembangunan Mapan – SDG) serta menggabungkan nilai-nilai Maqasid Syariah berbeza daripada institusi kewangan lain.

    Hala Tuju ke Hadapan
    Bagi masa depan, usaha lebih menumpukan kepada membawa kesedaran yang meluas dan mendalam kepada orang ramai khususnya di Brunei mengenai pelaburan mengetengahkan nilai-nilai ESG.

    Menurutnya, terdapat salah faham dalam kalangan pelabur jika melabur dalam produk ESG, ia akan menjejaskan pulangan mereka serta perlu mengeluarkan modal yang lebih besar bagi mendapatkan pulang yang diharapkan.

    Jelasnya, ia tidak mungkin berlaku dan ia tidak akan menjejaskan pulangan mereka jika mereka menyelaraskan pelaburan kepada nilai-nilai ESG. Di samping itu, adalah bertepatan untuk kita sama-sama memberikan penekanan ke arah pesejajaran kepada nilai¬nilai ESG dengan Brunei menjanjikan komitmen melalui Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Brunei untuk mencapai Net-Zero menjelang 2050.

    Sehubungan itu, semua memainkan peranan mereka dalam mencapai matlamat setiap pelaburan dengan BIBD Securities dan BIBD Asset Management dapat memberikan impak positif dan pada masa yang sama memperoleh pulangan.

    Bagi mencapai hasrat itu, adalah amat penting untuk mendekati masyarakat melalui pasukan pemasaran, media dan jerayawara yang menyasarkan golongan pelabur dan peringkat akar umbi termasuk pelajar, ujar Haji Muhammad Yazid.

    Ringkasan

    Perjalanan ESG BIBD Securities
    – BIBD Securities memulakan perjalanan ESG secara rasmi pada Mei 2021 yang telah berkembang dan maju.

    – Perkembangan positif turut menyaksikan penekanan diberikan oleh BIBD untuk menyumbang kepada SDG.

    Sambutan Terhadap Arabesque ESG Fund
    – Arabesque ESG Fund diperkenalkan pada Disember 2021, merupakan dana yang memberi pulangan terlaras risiko dengan tumpuan kepada pemeliharaan modal.

    – La mendapat sambutan memberangsangkan dengan sebilangan besar pelabur merupakan pelabur muda atau golongan yang bekerja.

    – Sambutan baik itu dapat dilihat dari segi penerimaan para pelabur kepada keperluan serta pentingnya penyelarasan kepada ESG dalam membuat pelaburan.

    Strategi ESG Sukuk BIBD AM
    – BIBD Asset Management telah melancarkan Strategi Sukuk ESG pertamanya pada Mei 2022 yang ditawarkan kepada klien institusi bagi menyelaraskan pelaburan klien dengan nilai-nilai ESG.

    – la adalah strategi yang dihasilkan melalui pengenalan strategi itu yang bermatlamat memberi pulangan terlaras risiko dengan rating ESG yang lebih baik daripada penanda aras.

    – Pengenalannya merupakan satu langkah yang penting untuk memacu Brunei ke arah menjadi sebuah hab kewangan Islam yang unggul dan mengetengahkan komitmen BIBD Securities dan BIBD Asset Management dalam BDCB Financial Sector Blueprint dan Wawasan Brunei 2035.

    – Tumpuan ke arah kesedaran yang meluas dan mendalam kepada orang ramai mengenai pelaburan dengan mengetengahkan nilai-nilai ESG.

    – Pensejajaran nilai-nilai ESG melalui Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Brunei untuk mencapai Net-Zero menjelang 2050.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...