Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 10 Mac – Tiga orang veteran dari kumpulan Berbasikal Ekspedisi Sukarelawan Daerah Tutong (BEST) telah menyahut cabaran iaitu memulakan ekspedisi BEST Ride 2017 – Tour to Tip of Borneo buat julung-julung kalinya bermula dari Rancangan Perumahan Negara (RPN) Bukit Beruang, Tutong, pagi tadi.
Ketiga-tiga orang veteran yang menyertai ekspedisi itu adalah terdiri daripada Haji Suhaibon bin Haji Othman berusia 63 tahun, Haji Morni bin Jumat berusia 56 tahun dan Awang Sameon bin Haji Jaya berusia 58 tahun.
Hadir mengalu-alukan pelepasan ketiga-tiga veteran tersebut ialah pengerusi BEST, Haji Aminuddin bin Haji Abdul Karim.

Mereka telah berlepas dari RPN Bukit Beruang, di salah sebuah rumah milik ahli BEST, dengan matlamat berkayuh selama 12 hari menuju ke destinasi seperti Kudat, Kota Kinabalu, Sabah.
Adapun tujuan ketiga pengayuh veteran ini adalah untuk menimba pengalaman dan mencuba ketahanan fizikal serta mental orang-orang veteran, di samping dapat menarik minat semua penggemar-penggemar basikal dalam mencapai kehidupan yang sihat dan aktif.