Espanyol mahu penyingkiran La Liga dibatalkan

MADIRD, 4 OGOS – Espanyol meminta La Liga untuk membatalkan penyingkiran mereka selepas penghujung musim di Sepanyol berterusan dibelenggu masalah berikutan peningkatan kes koronavirus.

Meskipun menamatkan kedudukan musim ini di tangga tercorot liga, Espanyol berkata dalam kenyataan bahawa keputusan ‘tidak diragukan lagi tidak adil dari segi kesukanan memandangkan peringkat akhir liga tidak dipertandingkan dalam keadaan yang sama, menyamai kondisi sebelum penggantungan.

Promosi dan penyingkiran di antara dua liga teratas Sepanyol telah menjadi isu besar selepas perlawanan Segunda antara Fuenlabrada dan Deportivo La Coruna pada hari terakhir tidak dapat dilangsungkan disebabkan beberapa orang pemain Fuelabrada telah disahkan positif dijangkiti koronavirus. Kemenangan buat Fuenlabrada akan melayakkan mereka berada di perlawanan play-off, sementara Deportivo mampu mengelakkan diri dari penyingkiran jika mereka memenangi perlawanan tersebut.

Sebuah jawatankuasa persaingan tiga orang telah memutuskan bahawa perlawanan sekarang akan dimainkan pada Rabu tetapi pemain Deportivo gagal hadir untuk ujian yang dimestikan seawalnya pada Isnin, dengan kedudukan mereka berada di tangga empat pasukan tercorot sudah disahkan.

Kelewatan play-off telah membuatkan Real Zaragoza merasa kesal, yang baru sahaja terlepas kedudukan promosi secara automatik dan kini tanpa kelibat pemain bintang mereka, Luiz Suarez, selepas tempoh perjanjian pinjaman dari Watford berakhir. Dengan masalah yang berlaku di divisyen dua, Espanyol telah membuat rayuan agar mereka tidak disingkirkan meskipun liga utama telah ditamatkan tanpa sebarang masalah. – AFP