SHANGHAI, 29 Jan – Penyerang prolifik, Wu Lei, yang digelar sebagai ‘Maradona China’ telah menandatangani kontrak bersama pasukan bergelut dari La Liga, Espanyol, menurut pengumuman yang dibuat oleh kelab Sepanyol itu dan Shanghai SIPG, semalam.
Pemain berusia 27 tahun itu merupakan penjaring terbanyak dalam Liga Super China (CSL) musim lalu, menjaringkan 27 gol dengan menggalas peranan utama dalam menjulang gelaran bersama SIPG.
“Pemain baharu itu akan mengenakan jersi nombor 24,” menurut kenyataan Espanyol yang dimiliki oleh hartawan China, yang kini menghuni di tangga tiga tercorot La Liga. Sementara itu, tiada sebarang maklumat diberikan mengenai yuran perpindahannya ke kelab itu.
“SIPG masih mengikuti satu dasar utama iaitu selama mana (pertukaran) memberikan manfaat terhadap kerjaya seseorang pemain dan pembangunan bola sepak China, kelab itu akan memberikan sokongan penuh,” kata SIPG dalam satu kenyataan.
Perpindahan pemain antarabangsa itu, Wu, yang juga pemain terbaik China, telah dipertikaikan selama beberapa hari.
Wu, yang boleh beraksi di bahagian tengah atau posisi lain, sebelumnya dikaitkan dengan perpindahan ke Wolverhampton Wanderers bagi saingan Liga Perdana Inggeris.
Tetapi Espanyol yang berpangkalan di Barcelona telah berjaya mendapatkan peluang ke atas pemain itu yang menghabiskan kerjayanya di SIPG, China.
Dia mengetepikan rakan sepasukan SIPG seperti Hulk dan pemain penyerang Nigeria, Odion Igalho dalam CSL musim lalu untuk menjadi pemain penyerang terbanyak sekali gus diumumkan pemain terbaik tahunan. – AFP


































