ESSCom cadang pasang kamera Big Eye

SEMPORNA, 19 NOV – Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) bercadang memasang kamera resolusi tinggi (Big Eye) di Pulau Bohey Dulang, dekat sini bertujuan memperkukuhkan kawalan keselamatan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Ketua Pegawai Eksekutif ESSCom Dr Jamaluddin Mohd Ali berkata perkara itu sudah dibawa ke pengetahuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar dapat dilaksanakan.

“Jika ada Big Eye ini (kawalan dan pemantauan pasukan keselamatan) akan lebih komprehensif, ditambah lagi dengan radar sedia ada iaitu Target Hardening yang diletakkan di kawasan strategik di perairan ESSZone,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja ke Pulau Boheyan, Pulau Pom-Pom dan Pulau Bohey Dulang bagi meninjau Target Hardening, hari ini.

Dalam pada itu, katanya Target Hardening di Pulau Boheyan yang berada di bawah pengawasan Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) dan Pulau Pom-Pom yang dikendalikan Pasukan Gerakan Am itu, sedang diselenggarakan.

“Kita tambah baik Target Hardening di dua lokasi ini sebab pada 2015 di Pulau Boheyan dan Pulau Pom-Pom pada 2017.

“Jadi memang ada sedikit pembaikan kita buat untuk Target Hardening di dua lokasi ini dan kita jangkakan kerja-kerja ini akan siap dalam tempoh satu ke dua minggu ini,” katanya.

Target Hardening merupakan radar jarak dekat yang boleh mengesan objek jelas dalam jangkauan. – Bernama