LAHAD DATU, 20 Jan – Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) merampas 2,195 karton rokok pelbagai jenis bernilai lebih RM53,000 di dalam sebuah van di tepi sungai Kampung Puyut di sini, malam semalam.
Komander Esscom DCP Datuk Wan Abd Bari Wan Abdul Khalid berkata anggota Unit Risikan Pasukan Polis Marin (PPM) menyerbu van berkenaan yang dipercayai membawa rokok untuk diseludup, namun pemandu van sempat melarikan diri, dalam kejadian kira-kira 7:30 malam itu.
“Pemeriksaan lanjut, pasukan itu menjumpai sejumlah rokok yang disembunyikan di dalam beberapa buah kotak tanpa label,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Van itu disita dan dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kastam 1967. Sementara itu, di Sandakan, PPM menahan 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dalam dua operasi di perairan Nunuyan Laut. – Bernama
































