Wednesday, April 24, 2024
25.2 C
Brunei

    -

    Estetika lukisan dakwat Cina Alfred Koh

    GUA MUSANG – Hanya lima jam diperlukan pesara guru Koh Keat Fu atau nama penanya Alfred Koh, untuk menghasilkan lukisan dakwat Cina seterusnya memperoleh pendapatan RM368 bagi karyanya itu.

    Mendengarnya agak mudah, namun Koh yang berusia 53 tahun sebenarnya memiliki pengalaman menghasilkan lukisan dakwat Cina sejak 2003 hasil ‘berguru’ dengan pelukis veteran dari Bentong, Pahang iaitu Zhong Zheng Chuan, 72, dan He Kuai Ling, 65.

    Bercakap kepada pemberita, Koh berkata lukisan dakwat Cina merupakan satu cabang seni yang unik kerana setiap lukisan mengandungi mesej tersirat berkenaan binatang, tumbuh-tumbuhan dan pemandangan yang tidak biasa didedahkan kepada khalayak ramai selain kelompok masyarakat itu sahaja.

    “Lukisan dakwat Cina ini hanya menggunakan satu goresan sahaja tidak sama seperti lukisan air, jadi jika tersilap pelukis perlu mengubah lukisan secara spontan.

    “Selain itu pelukis dakwat Cina biasanya akan meninggalkan banyak tempat kosong pada kanvas untuk membuatkan orang yang melihat lukisan bebas berimaginasi sendiri untuk mengisi ruang kosong tersebut,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Bandar Utama.

    Bercerita lanjut, Koh berkata lukisan dakwat Cina ini memiliki keistimewaan yang tersendiri kerana secara tidak langsung dapat mengasah tahap kreativiti seseorang pelukis. 

    “Sebenarnya dahulu saya tidak tahu seni lukisan ini kerana terdapat tiga empat warna dalam satu goresan dan saya tidak tahu cara untuk menghasilkan kesan yang menarik macam itu, bila saya belajar saya rasa kagum dan mula faham bahawa inilah tekniknya,” katanya.

    Menurut Koh, beliau telah menghasilkan hampir 400 karya yang kebanyakannya dijadikan cenderahati sempena acara kebajikan selain turut menerima tempahan daripada orang ramai.

    “Saya perlukan lima jam bagi menghasilkan lukisan paling mahal yang dijual pada harga RM368. Selain itu ada juga karya saya dijual pada harga RM128 dan RM238 bergantung kepada saiz dan tempoh menyiapkan lukisan,” katanya sambil menambah sebuah lukisan biasa boleh disiapkan dalam tempoh 10 hingga 40 minit.

    Koh, anak kelahiran Balik Pulau, Pulau Pinang yang tinggal di Gua Musang sejak 30 tahun lepas berkata beliau turut mendapat galakan daripada gurunya untuk membuat kelas melukis. 

    Beliau yang mengikut saranan gurunya mula aktif mengadakan kelas secara dalam talian sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kini mempunyai pelajar dari pelbagai peringkat umur, termasuk penyertaan daripada ibu bapa pelajar yang sedia ada. – Bernama

    Pelukis bebas Koh Keat Fu, yang berasal dari Balik Pulau, Pulau Pinang menunjukkan dua lukisan dakwat Cina yang dihasilkan dalam tempoh kurang dari 30 minit. – Bernama
    Koh Keat Fu menunjukkan cara memegang berus dan membuat gabungan warna kelopak bunga dengan hanya satu stroke ketika ditemui pemberita. – Bernama
    Kelihatan Koh Keat Fu, membuat sentuhan terakhir pada lukisan dakwat Cina yang dihasilkan dengan cop namanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...