JEPUN – Bunga dan tumbuh-tumbuhan yang digambarkan pada pelbagai kotak kayu itu dihasilkan menggunakan teknik roketsu kusakizome, pencelupan dengan pewarna semula jadi yang diperbuat daripada tumbuh-tumbuhan dan ia dikenali dengan keestetika yang sederhana.
Pewarnaan itu memberikan penampilan yang sangat anggun dan menenangkan untuk dilihat.
Lili, buah markisa, camelia dan cymbidium merupakan bunga dan tumbuhan yang dilukis itu kelihatan lembut dan elegan.
Ia merupakan karya artis roketsu kusakizome, Reiko Nomura, 75. Kotak-kotak itu diperbuat daripada kayu kapur barus dan apabila penutupnya dibuka, aroma lembut wangian kayu itu akan tersebar.
Nomura mengulangi proses itu berkali-kali untuk beberapa karya. Dia biasanya memilih bunga liar sebagai motif untuk karyanya, menggunakan pewarna yang diekstrak daripada tumbuh-tumbuhan dan pokok.
“Saya suka memikirkan reka bentuk dengan mengambil tumbuhan yang ada di sekitar,” kata Nomura.
Dengan menggunakan kira-kira lima warna pewarna, dia melapiskan warna itu dan menambah bayangan menggunakan air. Dia mengubah warna dengan larutan mordan seperti timah dan aluminium.
Sebagai contoh, untuk menghasilkan wana hijau, dia menggabungkan mordan timah dan aluminium untuk membuat warna kekuningan, yang dia sapukan di atas nila untuk menyatakan motif.
“Saya kadangkala terharu dengan warna yang dihasilkan secara kebetulan,” kata Nomura.
Dia mengeringkan lilin dengan teliti dan mengelapnya dengan benzina setelah proses pewarnaan selesai.
Ia adalah detik yang menarik untuk melihat sama ada corak dan warna yang diingini akan keluar, katanya.
Lapisan terakhir lilin disapukan untuk melengkapkan proses. Semakin banyak kotak yang diwarnai digunakan, semakin lembut warnanya, yang merupakan salah satu daya tarikan pewarna yang berasal dari alam semula jadi.
Kebanyakan kotak yang diwarnai oleh Nomura adalah buatan tangan daripada kayu kapur barus oleh petukang.
“Permukaan kayu yang licin adalah penting untuk menghasilkan karya kerana ia menjadikan warna-warnanya begitu jelas,” katanya.
Aroma yang segar dan menenangkan juga merupakan ciri khas kotak-kotak itu.
“Bauannya sangat menyenangkan, dan kehangatan kayu terasa selesa apabila saya memegangnya di tangan saya,” kata Nomura. “Daya tarikan pokok kapur barus juga menjadi sebab utama saya boleh terus mencipta karya untuk masa yang lama.”
CORAK TRADISIONAL
Nomura telah mencipta banyak karya menggunakan bunga liar sebagai motif. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dia semakin tertarik untuk melukis corak yang lebih tradisional dengan lebih banyak.
Ketika beliau mengadakan pameran di Kyoto, beliau melawat tempat-tempat seperti muzium seni dan merasa tertarik dengan pelbagai corak, katanya.
Kotak dengan corak tatewaku, di mana dua garisan melengkung terbentang, kemudian mengecut dan memanjang secara menegak, mempunyai warna yang terang.
Corak pakis berbentuk berlian memberikannya perasaan moden dan dikatakan melambangkan kemakmuran untuk keturunan seseorang.
Dia juga menggunakan corak gaya Jepun, seperti corak dengan daun buluh dan kantung bertali, serta corak dengan pemotong benang dan alas jarum.
Selain itu, dia semakin banyak menggambarkan haiwan kecil seperti burung dan kucing, mengembangkan lagi rangkaian kreatifnya. – ANN/Japan News