MEKELE, 29 JUN – Kerajaan Etiopia semalam mengisytiharkan ‘gencatan senjata satu pihak’ di wilayah Tigray, lapor media negara ini, ketika pejuang pemberontak memasuki Mekele.
Tindakan ‘dramatik’ membabitkan pasukan tentera bawah Perdana Menteri, Abiy Ahmed itu memberi isyarat titik perubahan dalam konflik yang sudah berlarutan hampir lapan bulan di Tigray.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), konflik berdarah itu juga menghimpit kira-kira 350,000 orang ke ambang kebuluran. Gencatan senjata berkenaan diumumkan ketika kumpulan pemberontak dipanggil Pasukan Pertahanan Tigray (TDF), memasuki Mekele dengan disambut penduduk, manakala pegawai tempatan dilapor melarikan diri dari bandar itu.
“Gencatan senjata tanpa syarat dan sebelah pihak telah diisytiharkan, bermula 28 Jun,” menurut satu kenyataan yang disiarkan oleh media negara, malam tadi.
Menurut kenyataan itu, gencatan senjata terbabit dijadualkan hingga akhir ‘musim pertanian’ ketika ini bertujuan memudahkan pengeluaran hasil pertanian dan pengagihan bantuan, sementara membolehkan pejuang pemberontak ‘untuk kembali ke jalan keamanan’.
Bagaimanapun, TDF tidak memberikan reaksi terhadap pengumuman gencatan senjata oleh Kerajaan Persekutuan, setakat ini. – AFP