EU, AS tangani kemelut ekonomi

BRUSSELS, 10 Sept – Para pegawai tertinggi dari Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) mengadakan pertemuan di Brussels hari ini dalam usaha untuk menyelesaikan perbezaan berhubung rundingan perdagangan yang digembar-gemburkan musim panas ini.

Presiden AS Donald Trump dan Ketua Suruhanjaya Eropah Jean-Claude Juncker pada Julai lalu telah berjanji akan menangguhkan tarif balas seterusnya dan berusaha ke arah perjanjian perdagangan terhad yang akan membatalkan duti kastam ke atas semua barangan.

Kedua-dua belah pihak telah menggembar-gemburkan perjanjian itu sebagai kejayaan besar, namun kenyataan berikut menjelaskan bahawa salah faham berterusan, terutamanya berhubung pertanian yang mana Washington menegaskan akan menjadi bahagian penting dalam mana-mana perjanjian.

Menerima tekanan dari Perancis, pihak Eropah sekeras-kerasnya menolak barangan pertanian dimasukkan ke dalam rundingan perdagangan dan pegawai tertinggi perdagangan Eropah, Cecilla Malmstrom akan cuba menyelesaikan perkara itu dengan rakan sejawatan dari AS, Robert Lighthizer.

“Suruhanjaya dan AS bersetuju dengan dokumen rangka, mungkin akhir tahun ini,” satu sumber Eropah memberitahu AFP.

Gambar fail pada 3 Julai 2018 menunjukkan Presiden Suruhanjaya Eropah Jean-Claude Juncker ketika bercakap pada sesi pleno di Strasbourg, Perancis. – AFP

“Trump dan Juncker telah mencapai kesepakatan, namun realitinya, kami tidak sepenuhnya menyetujui skop rundingan,” dia menambah.

Para pegawai telah menetapkan jangkaan sangat rendah bagi rundingan itu, yang pertama kali dari beberapa rundingan yang dijangkakan untuk merancang dengan teliti untuk mencari sektor mana yang mempunyai asas sama.

Penyelesaian musim panas bagaimanapun rapuh, dengan Trump pada minggu lalu sekali lagi berucap dengan hangat terhadap EU dan membangkitkan spektra mengenakan tarif ke atas industri auto Eropah, terutamanya dengan pilihan raya penggal pertengahan semakin hampir di AS.

Tarif auto akan dilihat oleh Jerman sebagai tamparan hebat dan akan ditambah kepada cukai yang sedia ada ke atas keluli dan aluminium yang telah dikenakan oleh Trump ke atas Eropah pada Jun lalu. EU telah mengenakan cukai balas.

Malmstrom dari EU pada lewat bulan lalu berkata perjanjian perdagangan mungkin memasukkan pembatalan cukai rentas atlantik ke atas automobil. – AFP