EU, AZ selesai isu bekalan vaksin

BRUSSELS, 3 SEPT – Kesatuan Eropah (EU) dan syarikat ubat gergasi UK AstraZeneca hari ini mencapai penyelesaian dalam perbalahan mereka berhubung kekurangan dalam bekalan vaksin koronavirus, bersetuju untuk melanjutkan jadual penghantaran.

Suruhanjaya Eropah mengenakan tindakan undang-undang selepas firma itu gagal menghantar kesemua 300 juta dos seperti yang dijanjikan pada Jun 2021, tetapi AstraZeneca akan diberi masa sehingga akhir Mac tahun depan untuk memenuhi jumlah tersebut.

Perjanjian itu menamatkan tindakan mahkamah dan AstraZeneca tidak akan berdepan sebarang denda atau bayaran penalti, melainkan ia gagal memenuhi tarikh sasaran baharunya.

“Saya berasa gembira kerana kami telah mencapai persetujuan yang membenarkan kami bergerak ke depan dan bekerjasama dengan Suruhanjaya Eropah untuk membantu mengekang penularan jangkitan,” kata Ruud Dobber bagi pihak AstraZeneca.

Brussels berasa marah apabila syarikat farmaseutikal British-Sweden itu gagal menunaikan janjinya, justeru menjejas kempen awal vaksinasi di EU.

Dalam keputusan sementara itu, mahkamah Brussels menetapkan jadual penghantaran baharu ke atas AstraZeneca.

“Perjanjian penyelesaian hari ini menjamin penghantaran baki 200 juta dos vaksin COVID-19 oleh AstraZeneca ke EU,” kata pesuruhjaya kesihatan Eropah Stella Kyriakides dalam satu kenyataan.

Perjanjian juga mengandaikan Agensi Ubat-Ubatan Eropah akan meluluskan dua tapak pengeluaran baharu di Eropah untuk vaksin AstraZeneca sebelum akhir Oktober. – AFP

Seorang ahli farmasi menyediakan picagari dari bebuli vaksin AstraZeneca di Kampung Vaksin di Antwerp, Belgium. – AP