EU bakal lulus dua vaksin

BRUSSELS, 20 NOV – Kesatuan Eropah (EU) bersedia untuk meluluskan dua vaksin COVID-19 yang diuji Pfizer-BioNTech dan Moderna sebelum akhir bulan depan.

Ketua EU, Ursula von de Leyen berkata, Agensi Perubatan Eropah (EMA) juga bersedia memberi kelulusan pemasaran bersyarat selewat-lewatnya pada pertengahan Disember jika tiada sebarang masalah berbangkit.

“Kami juga meneruskan rundingan dengan Moderna dan Novavax,” katanya sambil menambah 27 pemimpin EU turut menyokong program pembelian vaksin itu.

Firma gergasi farmaseutikal, Pfizer dan BioNTech dari Jerman yang bekerjasama menghasilkan vaksin itu mendakwa ujian klinikal menunjukkan kejayaan memberangsangkan dan sudah menye-rahkan data berkenaan kepada EMA.

Syarikat bioteknologi Amerika Syarikat (AS), Moderna pula mendakwa ujian vaksin yang sedang dihasilkannya menunjukkan 95 peratus keberkesanan.

EMA yang berpangkalan di Armsterdam bertanggungjawab meneliti hasil ujian terbabit sebelum mengesyorkannya kepada EU untuk kelulusan.

EU mempunyai kontrak untuk membeli jutaan dos vaksin daripada BioNTech, Prevac, AstraZeenca dan Sanofi jika ubat berkenaan dijual di pasaran. Ketua EU itu turut berkata, EMA berhubung setiap hari dengan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) AS dalam urusan membabitkan syarikat menghasilkan vaksin dari negara itu.

“Jika tiada sebarang masalah, EMA akan memaklumkan kepada kami yang kelulusan pemasaran bersyarat kepada BioNTech dan Moderna dapat direalisasikan pertengahan bulan depan,” katanya.

Pengasas bersama BioNTech, Ugur Sahin berkata syarikat berkenan berharap akan mendapat kelulusan itu dengan kadar segera. – AFP