EU beri pakej bantuan 500 bilion euro

WASHINGTON, 10 APRIL – Kesatuan Eropah (EU) setuju memberikan pakej bantuan menyelamat kepada negara anggotanya yang kini mengharungi kemuncak penularan pandemik COVID-19.

Menteri Kewangan EU bersetuju menyediakan pakej bantuan menyelamat 500 bilion euro bertujuan mengurangkan beban yang ditanggung negara anggota terutama Itali dan Sepanyol, yang paling terjejas akibat wabak berkenaan.

Dengan angka kematian melepasi 94,000, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran dunia kini berdepan zaman kemelesetan dan data menunjukkan Amerika Syarikat (AS) kehilangan 17 juta pekerjaan dalam tempoh beberapa minggu.

Ketua Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva, berkata kira-kira 170 hingga 180 ahlinya akan mengalami penurunan pendapatan per kapita tahun ini. “Kita menjangkakan kejatuhan ekonomi terburuk selepas Zaman Kemelesetan.

“IMF menggesa kerajaan supaya menyediakan bantuan kepada semua syarikat, perusahaan dan juga rakyat,” katanya. Setakat ini, jumlah kematian di Sepanyol akibat COVID-19 menurun kepada 683 kes daripada 757 kes berbanding hari sebelumnya, sekali gus menjadikan jumlah kematian melebihi 15,000 orang.

Sementara itu di Perancis, pesakit yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) adalah seramai 82 orang. Di AS, sejumlah 1,783 kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam, bagaimanapun jumlah itu adalah lebih rendah berbanding hari sebelumnya iaitu sebanyak 1,973 kematian. – AFP