KYIV, UKRAINE, 17 JULAI – Kesatuan Eropah (EU) akan mengadakan perbincangan mengetatkan sekatan terhadap Rusia esok, ketika Moscow dituduh menggunakan loji kuasa nuklear terbesar di benua itu untuk menyimpan senjata dan melancarkan peluru berpandu ke kawasan sekitar selatan Ukraine.
Situasi di loji nuklear Zaporizhzhia yang ditakluki dalam keadaan tegang, kata ketua agensi tenaga atom Ukraine, Petro Kotin, sambil menambah bahawa Rusia telah memasang pelancar peluru berpandu dan menggunakan kemudahan tersebut untuk meletupkan wilayah Dnipro.
Menggambarkan tempat itu seperti ‘dihujani oleh api’, gabenor wilayah Valentyn Reznichenko berkata peluru berpandu Grad telah menghentam kawasan perumahan.
“Anggota penyelamat menemui dua mayat di bawah runtuhan itu” di sebuah bandar tepi sungkai, Nikopol, katanya.
Dengan konflik yang semakin meruncing hingga menjejaskan krisis tenaga dan makanan global, menteri-menteri luar EU mempertimbangkan untuk mengharamkan pembelian emas dari Rusia, yang akan sejajar dengan sekatan yang sudah dikenakan oleh negara rakan kongsi G7.
Selain itu, banyak tokoh-tokoh penting Rusia akan diletakkan ke dalam senarai hitam EU.
“Moscow harus menerima padahnya kerana melakukan keganasan itu,” kata presiden pesuruhjaya Eropah, Ursula von der Leyen selepas mengusulkan langkah-langkah yang dicadangkan.
Brussels dijangka akan mengadakan perbincangan sekatan esok, tetapi keputusannya tidak akan dibuat pada hari yang sama, menurut pegawai kanan EU.
Lebih dari 20 minggu sejak Rusia menceroboh negara jirannya, membunuh ribuan dan menyebabkan jutaan penduduk berpindah, Moscow mengumumkan kelmarin bahawa ia akan mempertingkatkan operasi ketenteraan mereka.
Menteri Sergei Shoigu telah memberi arahan untuk meningkatkan lagi serangan tentera, menurut Kementerian Pertahanan Rusia.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky telah pun membuat tuduhan yang Rusia berusaha untuk menyebabkan kerosakan maksimum, tetapi beliau berikrar bahawa Ukraine akan bertahan. – AFP