Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    EU desak Taliban benarkan gadis belajar di Afghanistan

    MOSCOW, 29 MAC – Kesatuan Eropah (EU) kelmarin mengecam keputusan Taliban melarang lebih sejuta gadis Afghanistan daripada menerima pendidikan peringkat menengah dan yakin langkah itu mengurangkan peluang agar gerakan itu mendapat perakuan yang ‘diingini.’

    Kementerian pendidikan Afghanistan Rabu lalu mengumumkan kanak-kanak perempuan dibenarkan menghadiri kelas setakat darjah enam manakala pembelajaran peringkat atasan harus menunggu sehingga keputusan diumumkan kelak, lapor Sputnik.

    “EU dan negara anggota, bersama rakan kongsi antarabangsa mengecam keputusan Taliban menafikan hak akses pendidikan lebih sejuta gadis Afghanistan.

    Ia adalah pencabulan terhadap hak asasi semua kanak-kanak untuk mendapat akses pendidikan, termaktub dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat dan beberapa peraturan hak asasi manusia antarabangsa, di mana Afghanistan juga berpihak kepada deklarasi itu,” menurut kenyataan Majlis EU.

    Keputusan itu merendahkan peluang Taliban mendapatkan pengiktirafan yang ditunggu-tunggu dan ia merupakan komitmen Taliban kepada masyarakat awam serta rakyat dan rakan kongsi antarabangsa, menurut kenyataan itu.

    “Kami tidak boleh bekerjasama dengan kerajaan (Taliban) ini, jika ia terus menjauhkan diri daripada parameter yang kami rasa penting untuk dianggap sebagai rakan sejawatan.

    “Keadaan ini meletakkan kami dalam situasi yang sangat sukar,” ketua dasar luar EU, Josep Borrell memberitahu Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Parlimen Eropah kelmarin.

    Ia petanda buruk untuk masa depan Afghanistan, tambah Borrell.

    Peralihan kuasa Taliban di Afghanistan pada Ogos tahun lalu mencetuskan kegawatan ekonomi dan krisis kekurangan bekalan makanan yang telah mendorong negara itu terjerumus dalam krisis kemanusiaan. – Bernama

    Rakyat perempuan Afghanistan menyertai pembelajaran di dalam bilik darjah di Sekolah menengah perempuan Tajrobawi di Herat, Afghanistan. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...