EU gesa siasat asal usul virus COVID-19

BRUSSELS, 6 MEI – Kesatuan Eropah (EU) akan mengesyorkan satu siasatan bebas mengenai asal usul wabak COVID-19 dilaksanakan, kata jurucakap hal ehwal luar negeri blok itu, kelmarin.

Beliau berkata syor itu akan dikemukakan pada Perhimpunan Majlis Kesihatan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Pemahaman menyeluruh mengenai epidemiologi pandemik COVID-19 sangat penting untuk pihak berkuasa awam membuat keputusan yang tepat,” kata Virginie Battu-Henriksson kepada agensi berita Anadolu. Diplomat EU kini sedang merangka draf resolusi yang akan diterima pakai pada perhimpunan 18 Mei nanti.

Dokumen berkenaan menggesa sebuah kajian bebas mengenai pengajaran yang diperoleh daripada krisis kesihatan global itu untuk membantu masyarakat antarabangsa bersiap sedia mendepani cabaran masa depan. Sementara itu, dalam wawancara dengan Le Journal de Dimanche dari Perancis, ketua dasar luar EU, Josep Borrell bercakap mengenai pentingnya siasatan bebas.

“Siasatan itu perlu mengetepikan perang antara China dan Amerika Syarikat (AS), yang saling menuding jari, yang hanya akan memburukkan lagi keadaan,” katanya.

Bulan lalu, Presiden Donald Trump memutuskan untuk menghentikan sumbangan kepada WHO, mendakwa badan dunia itu gagal menguruskan wabak COVID-19 kerana menerima tekanan dari China. – Bernama