EU iktiraf sijil vaksin COVID-19

BELGRADE, 16 NOV – Kesatuan Eropah (EU) dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan EU akan mengiktiraf sijil vaksin COVID-19 dari empat lagi negara iaitu Georgia, Moldova, New Zealand dan Serbia, lapor agensi Anadolu (AA).

Menurut kenyataan itu, empat negara tersebut akan disambungkan kepada sistem Sijil COVID Digital EU bermula Selasa dan sijil vaksin mereka akan diterima di bawah syarat yang sama seperti sijil EU.

Pesuruhjaya Kehakiman Eropah Didier Reynders berkata dengan keputusan itu setakat ini, sebanyak 49 negara dan wilayah di lima benua sudah dimasukkan di bawah sistem pensijilan digital tersebut.

Pesuruhjaya Eropah untuk ‘Neighbourhood and Enlargement’ Oliver Varhelyi menyambut baik keputusan itu.

“Hari ini, saya mengalu-alukan Georgia, Moldova serta Serbia dan saya berharap lebih banyak lagi negara jiran akan dimasukkan ke dalam sistem pensijilan itu,” kata Varhelyi. – Bernama