EU, Indonesia setuju bangunkan ekonomi hijau

JAKARTA, 18 SEPT – Menteri Perancangan Pembangunan Nasional Indonesia Suharso Monoarfa dan Duta Besar Kesatuan Eropah (EU) ke Indonesia dan Brunei Vincent Piket semalam melancarkan Penerbitan Bersama EU-Indonesia 2020 “Membangun Kapasiti untuk Pertumbuhan Hijau” pada satu majlis yang diadakan secara dalam talian.

Bercakap kepada media, Monoarfa berkata penerbitan itu merangkumi usaha dalam memajukan pembangunan lestari bagi meng-urangkan kesan perubahan iklim dan juga menyoroti pencapaian utama program pembangunan EU dan negara-negara anggotanya bersama Indonesia.

Menurutnya, kerjasama Indonesia-EU akan menyokong pertumbuhan ekonomi, sistem kesihatan, pendidikan, perkembangan sosial, dan perlindungan alam sekitar, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

Bagi pihaknya, Piket berkata, EU baru-baru ini melancarkan pakej “Team Europe” bertujuan menyokong tindak balas Indonesia terhadap pandemik COVID-19.

Akan datang, kerjasama dengan Indonesia akan merangkumi kaedah inovatif untuk membiayai peralihan hijau, pembangunan bandar dan pengurusan sumber asli secara lestari. – Bernama