Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    EU kecam keganasan penunjuk perasaan di Sudan

    KAHERAH, 18 JAN – Ketua dasar luar Kesatuan Eropah hari ini berkata pemerintah tentera Sudan telah menunjukkan keengganan untuk merundingkan penyelesaian secara aman terhadap krisis yang sedang berlaku di negara itu, sehari selepas pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke atas penunjuk perasaan antirampasan kuasa di ibu negara.

    Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh.

    Ketua hal ehwal luar EU, Josep Borrell berkata bahawa gesaan berulang kali agar pihak berkuasa menahan diri daripada keganasan terhadap penunjuk perasaan “telah tidak didengari.”

    Lebih 70 orang telah terbunuh dan ratusan yang lain cedera dalam protes besar-besaran sejak tentera mengambil alih pada 25 Oktober, memecat kerajaan pimpinan orang awam negara itu.

    Rampasan kuasa itu telah membatalkan peralihan Sudan kepada pemerintahan demokrasi selepas tiga dekad penindasan dan pengasingan antarabangsa di bawah presiden autokratik, Omar al-Bashir. Negara Afrika itu berada di jalan yang rapuh menuju demokrasi sejak pemberontakan popular memaksa tentera untuk menyingkirkan al-Bashir dan kerajaan Islamnya pada April 2019.

    Borrell berkata tindakan keras yang berterusan, termasuk keganasan terhadap orang awam dan penahanan aktivis serta wartawan, telah meletakkan negara itu pada “jalan berbahaya menjauhi keamanan dan kestabilan.”

    Borrell menggesa pihak berkuasa tentera untuk meredakan ketegangan, dengan berkata “mengelak kehilangan nyawa lagi adalah penting.”

    Tindakan keras itu, katanya, juga berisiko menjejaskan usaha PBB untuk mencari penyelesaian secara aman terhadap krisis yang semakin memburuk dengan peletakan jawatan Perdana Menteri, Abdalla Hamdok awal bulan ini. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...