EU kemukakan ‘pas hijau’ vaksin

BRUSSELS, 2 MAC – Suruhanjaya Eropah akan mengemukakan peraturan untuk ‘pas hijau’ vaksin Kesatuan Eropah (EU) pada bulan ini, ketika blok bersedia untuk memperluas kempen imunisasi COVID-19, kata ketua suruhanjaya Ursula von der Leyen semalam.

“Kami akan membentangkan cadangan perundangan untuk Pas Hijau Digital pada bulan ini,” kata beliau di Twitter, menjelaskan ia bertujuan memberikan bukti tentang vaksinasi dan keputusan ujian COVID-19.

Pas tersebut membenarkan orang ‘bergerak dengan selamat di EU atau luar negara – untuk kerja atau pelancongan,’ kata beliau.

Dalam perkembangan berasingan, dalam mesyuarat dengan ahli parlimen Jerman, von der Leyen berkata eksekutif beliau akan mewujudkan satu pangkalan teknikal untuk sijil digital pada bulan-bulan akan datang supaya ia berdasarkan pada maklumat yang sama di kesemua 27 negara anggota.

Naib presiden Margaritis Schinas berkata pada sidang media bahawa perundangan suruhanjaya dijangka dihantar kepada parlimen Eropah pada 17 Mac, dan seterusnya akan diberikan kepada pemimpin EU pada 25 Mac untuk dilulukan.

Von der Leyen berkata minggu lalu, selepas sidang kemuncak video EU mengenai isu itu, sijil vaksin mungkin dilancarkan dalam masa tiga bulan, dan mana-mana pas mesti mendukung standard perlindungan data EU.

Istilah ‘pas hijau’ digunakan untuk dokumen digital atau kertas membuktikan pembawa telah divaksinkan dan boleh memasuki pusat hiburan, sukan dan makan. – AFP

Penumpang berjalan di platform stesen kereta api di Frankfurt, Jerman kelmarin. Suruhanjaya Eropah akan mengemukakan peraturan untuk ‘pas hijau’ vaksin yang membenarkan orang bergerak dengan selamat dalam dan luar negara. – AP