EU lanjut kontrak vaksin pfizer 2023

BRUSSELS, 14 APRIL – Ketua Suruhanjaya Kesatuan Eropah (EU) Ursula von der Leyen mengumumkan rancangan hari ini untuk melanjutkan kontrak bagi vaksin COVID-19 dengan Pfizer sehingga 2023.

Dalam tanda keyakinan terhadap sebuah syarikat yang telah menjadi tulang belakang kempen vaksinasi Eropah setakat ini, von der Leyen berkata EU akan mula berunding untuk membeli 1.8 bilion dos vaksin Pfizer-BioNTech sehingga tahun 2023.

Von der Leyen menyatakan keyakinan sepenuhnya dalam teknologi yang digunakan untuk vaksin Pfizer-BioNTech, yang berbeza daripada teknologi yang digunakan untuk vaksin Oxford-AstraZeneca.

“Kami perlu menumpu pada teknologi yang telah terbukti berkesan,” kata beliau. Pfizer-BionTech merancang membekalkan EU dengan 50 juta dos tambahan dalam suku kedua tahun ini, selain 200 juta dos yang telah pun diperuntukkan untuk blok. Hantaran dialu-alukan oleh 27 negara anggota EU memandangkan penundaan bekalan dan isu pembekuan darah yang dikaitkan dengan vaksin AstraZeneca.

Suruhanjaya Eropah buat masa sekarang mempunyai portfolio 2.3 bilion dos dari setengah dozen syarikat dan sedang berunding lebih banyak kontrak. – AP

Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen mendengar semasa mesyuarat Persidangan Presiden di Parlimen Eropah di Brussels pada 13 April 2021. – AP