EU lanjutkan sekatan Crimea

BRUSSELS, 18 JUN – Kesatuan Eropah (EU) hari ini melanjutkan sekatan ketat selama setahun lagi yang dikenakan berhubung pemisahan Crimea dari Ukraine oleh Rusia pada 2014.

Langkah tersebut melarang eksport dan import barangan tertentu dari Crimea, dan mengharamkan syarikat berpangkalan di EU melakukan pelaburan dan perkhidmatan pelancongan di Laut Hitam.

“Majlis hari ini memutuskan untuk memperbaharui sekatan yang diperkenalkan sebagai respons terhadap pemisahan Crimea dan Sevastopol oleh Persekutuan Rusia sehingga 23 Jun 2021,” kata negara anggota EU dalam satu kenyataan.

“EU masih tidak mengiktiraf pemisahan Crimea dan Sevastopol oleh Persekutuan Rusia dan terus mengecam pencabulan undang-undang antarabangsa ini.”– AFP