EU luluskan gabungan Fiat Chrysler, PSA

BRUSSELS, 22 DIS – Kesatuan Eropah semalam memberikan kelulusan kepada gabungan syarikat gergasi kereta Fiat Chrysler (FCA) dan Peugeot Citroen (PSA), selepas firma berjanji akan menyelesaikan isu persaingan.

Gabungan itu, yang diumumkan pada lewat tahun lalu dan dijangka selesai pada awal 2021, akan mewujudkan Stellantis, bakal menjadi pengeluar kereta keempat terbesar dunia dari segi saiz dan nombor tiga dari segi jualan.

Syarikat gabungan itu menyatukan jenama seperti Peugeot, Citroen, Fiat, Chrysler, Jeep, Alfa Romeo dan Maserati untuk menjadi syarikat gergasi global, setiap satunya akan terus beroperasi di bawah lambangnya sendiri.

Suruhanjaya Eropah berkata keputusan untuk meluluskan gabungan itu diambil selepas ia menjalankan ‘siasatan menyeluruh’ mengenai kebimbangan ia mungkin menjejas persaingan.

“Kelulusan adalah dengan syarat pematuhan sepenuhnya dengan pakej komitmen yang ditawarkan oleh syarikat,” kata suruhanjaya dalam kenyataan.

Brussels bimbang gabungan mungkin menjejas pasaran Eropah untuk van, yang secara teknikal senang dihasilkan tetapi dijual pada harga menguntungkan.

Untuk mengatasi isu tersebut, suruhanjaya berkata PSA akan meneruskan satu perjanjian dengan Toyota untuk mengeluarkan van untuk dijual di bawah jenama Jepun di Eropah. – AFP