EU mohon dana hasilkan vaksin COVID-19

BRUSSELS, 15 APRIL – Kesatuan Eropah (EU) mahu mengadakan sidang penderma untuk mengumpul dana bagi menghasilkan vaksin COVID-19 pada 4 Mei ini.

Ketua EU, Ursula von der Leyen, berkata ia bertujuan menyelaras pembiayaan bagi menghasilkan vaksin bagi COVID-19 dan mengagihkannya ke seluruh dunia bagi membendung penularan koronavirus itu.

“Vaksin adalah usaha bersama terbaik kita dalam memerangi koronavirus ini dan bagi menyokong inisiatif global ini kita perlukan pembiayaan,” katanya pada sidang media secara maya hari ini.

Tambah beliau, sidang bagi mengumpul dana itu akan diadakan secara dalam talian dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Kata von der Leyen, badan kebajikan seperti Wellcome Trust of Britain dan Gates Foundation milik bilionair teknologi Amerika Syarikat (AS), Bill Gates, turut terbabit dalam persediaan itu.

“Saya harap semua negara dan pertubuhan di seluruh dunia akan menyahut permintaan ini,” katanya yang juga seorang pakar perubatan sebelum menyertai politik.

Puluhan vaksin COVID-19 kini sedang dibangunkan di serata dunia, namun pakar menjangkakan prosedur untuk menyaringnya bagi memastikan kemujaraban selain kesan sampingan mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya setahun.

Selepas itu, usaha menghasilkan dan membekalkan vaksin ke seluruh dunia mungkin mengambil masa beberapa bulan lagi. – AFP