STOCKHOLM, 11 JULAI – Agensi-agensi kesihatan dan ubat-ubatan Kesatuan Eropah (EU) hari ini berkata mereka menyarankan pengambilan suntikan penggalak kedua COVID bagi golongan umur 60 tahun ke atas, ketika kes jangkitan itu meningkat lagi.
“Dengan kes jangkitan dan kemasukan hospital meningkat sekali lagi menjelang musim panas ini, saya menggesa orang ramai mendapatkan vaksinasi dan suntikan penggalak secepat mungkin,” kata Pesuruhjaya Kesihatan dan Keselamatan Makanan Eropah, Stella Kyriakides.
“Tidak ada masa untuk dibazirkan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Eropah (ECDC) dan Agensi Ubat-ubatan Eropah.
Beberapa buah agensi telah pun menyarankan pengambilan suntikan penggalak kedua sejak April lalu bagi golongan umur lebih 80 tahun.
“Saya memohon kepada negara-negara ahli untuk melaksanakan program suntikan penggalak kedua untuk semua orang yang berumur 60 tahun ke atas, termasuk golongan berisiko dengan serta-merta,” tambah Kyriakides. Pengarah ECDC, Andrea Ammon berkata terdapat peningkatan dalam kemasukan pesakit ke hospital dan unit rawatan intensif di beberapa buah negara, terutamanya berpunca dari subvarian Omicron BA.5.
“Ini menandakan jenis jangkitan baharu, gelombang jangkitan COVID yang menular di seluruh negara EU. Selain itu, masih lagi ada beberapa individu yang berisiko tinggi terhadap jangkitan COVID yang perlu kita lindungi secepatnya,” kata Ammon. – AFP