BRUSSELS, 25 MEI – Para pemimpin EU hari ini bersetuju untuk menyumbangkan sekurang-kurangnya 100 juta dos vaksin COVID-19 kepada negara-negara miskin pada akhir tahun ini tatkala bekalan terus meningkat di seluruh Eropah.
Berhimpun di Brussels untuk sidang kemuncak selama dua hari, 27 pemimpin tersebut berikrar akan meneruskan usaha untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran vaksin bagi memenuhi keperluan global.
Mereka juga menyeru kepada ‘usaha untuk memastikan akses kepada vaksin global diagihkan secara adil dan mengulangi sokongan untuk program COVAX yang didukung oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Program COVAX bertujuan untuk memastikan akses pengagihan vaksin secara adil kepada negara yang berpendapat rendah dan sederhana.
Pelaksanaan program tersebut terbantut minggu lalu ketika pembekal terbesarnya, Institut Serum India, mengumumkan kemungkinan tidak lagi akan mengeksport vaksin sehingga akhir tahun ini kerana krisis COVID-19 di benua kecil tersebut. Para pemimpin mengakui bahawa perlaksanaan program vaksinasi semakin meningkat di benua tersebut.
Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen menyampaikan data kepada para pemimpin yang menunjukkan bahawa 300 juta dos akan dihantar di rantau ini pada akhir Mei, dengan kira-kira 46 peratus populasi dewasa di blok yang mempunyai 450 juta penduduk itu mendapat sekurang-kurangnya dos pertama vaksin. Tetapi ketika kempen vaksinasi terus dilaksanakan di negara-negara Barat, negara-negara miskin terpaksa berjuang untuk mendapatkan bekalan vaksin.
Semasa sidang kemuncak kesihatan di Rom minggu lalu, Perdana Menteri Itali Mario Draghi mengatakan bahawa hampir 1.5 bilion dos vaksin telah diberikan kepada lebih 180 negara di seluruh dunia. Namun hanya 0.3 peratus berada di negara berpendapatan rendah, sementara negara-negara kaya meraih kira-kira 85 peratus vaksin. – AP
