STRASBOURG, 4 OKT – Ahli parlimen Kesatuan Eropah (EU) hari ini memberi sokongan pencalonan bekas Menteri Luar Negeri Belanda, Wopke Hoekstra, bagi jawatan ketua berkaitan iklim EU, walaupun terdapat kebimbangan mengenai kaitan beliau dengan industri minyak pada masa lalu.
Ahli parlimen EU dalam jawatankuasa alam sekitar juga memberi persetujuan kepada pesuruhjaya Slovakia, Maros Sefcovic, untuk mengawasi pakatan iklim yang dikenali sebagai Perjanjian Hijau Eropah, kata Pascal Canfin, ketua jawatankuasa, dalam kenyataan.
Pelantikan itu masih perlu diluluskan oleh semua ahli penggubal undang-undang esok. Memenangi undi dua pertiga jawatankuasa tidaklah mudah bagi Hoekstra atau Sefcovic.
Pada Isnin, ahli parlimen mengkritik Hoekstra, yang pernah bekerja di syarikat tenaga gergasi, Shell, mengenai rekod prestasinya dan merasakan kurang pengalaman dalam isu iklim.
Tetapi penggubal undang-undang kelmarin enggan meluluskan ahli politik konservatif berusia 48 tahun itu, mencari lebih banyak informasi, termasuk butiran mengenai 11 tahun yang dihabiskannya untuk bekerja di syarikat perundingan besar, McKinsey.
Ketika mereka memberikan persetujuan, ahli parlimen berkata Hoekstra akan memenuhi janjinya untuk sentiasa jujur dan terbuka dalam tugasnya.
Hoekstra akan meminta pihak perundingan itu ‘untuk menyediakan daftar misi yang dilakukannya selama dia bertugas di McKinsey dan sudah tentu dia akan mendedahkan senarai misi kepada umum,” kata Canfin. – AFP
