EU sumbang 200 juta lagi dos vaksin

STRASBOURG, PERANCIS, 15 SEPT – Kesatuan Eropah (EU) akan menyumbang 200 juta dos vaksin COVID-19 kepada negara berpendapatan rendah, lebih dua kali ganda daripada jumlah yang dijanjikan sekarang, kata ketua blok hari ini.

Dos tambahan yang diumumkan oleh Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen keluar selain 250 juta dos yang telah pun dijanjikan oleh EU untuk diberikan kepada negara lain, terutamanya di Afrika.

“Saya boleh mengumumkan hari ini bahawa suruhanjaya akan menambah sumbangan baharu sebanyak 200 juta dos sehingga pertengahan tahun depan,” beritahunya kepada Parlimen Eropah dalam ucapan tahunan Kesatuan Eropah.

Von der Leyen memberitahu perhimpunan Strasbourg bahawa sumbangan merupakan ‘satu pelaburan dalam solidariti, dan ia juga merupakan satu pelaburan dalam kesihatan global.’

Beliau mengiktiraf perbezaan yang timbul di antara negara maju dari segi ekonomi seperti Amerika Syarikat dan Eropah, yang telah meneruskan kempen vaksinasi majoriti populasi mereka, dan negara miskin yang bergelut untuk mendapatkan bekalan.

“Dengan kurang satu peratus daripada dos global diberikan di negara berpendapatan rendah, skala ketidakadilan adalah ketara,” kata beliau.

Von der Leyen memuji kempen vaksinasi EU, yang telah melihat lebih 70 peratus daripada populasi orang dewasa menerima suntikan vaksin lengkap.

Beliau berkata Eropah telah melakukan lebih berbanding rantau lain untuk menghantar dos vaksin kepada negara lain, mengatakan separuh daripada 1.4 bilion vaksin yang dihasilkan di wilayahnya telah dieksport ke luar negara. – AFP

Ursula von der Leyen menyampaikan ucapan Kesatuan Eropah di Parlimen Eropah di Strasbourg, Perancis kelmarin. – AP