BRUSSELS, 6 NOV – Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen hari ini berkata EU menambah bantuan kemanusiaannya untuk Gaza sebanyak 25 juta euro (AS$27 juta).
“Dengan berbuat demikian, Kesatuan Eropah (EU) akan membelanjakan sejumlah 100 juta euro dalam bantuan kemanusiaan untuk orang awam di Gaza,” beritahu von der Leyen kepada diplomat EU di Brussels.
Von der Leyen berkata aliran bantuan ke Gaza dari Mesir ‘masih terlalu kecil’ dan EU sedang berusaha untuk menyediakan laluan lain yang mungkin termasuk penghantaran melalui laut dari Cyprus.
Von der Leyen, penyokong tegar Israel, berkata adalah penting negara itu ‘berusaha untuk mengelakkan korban awam’ dalam operasinya di Gaza.
“Hamas jelas menggunakan rakyat Palestin yang tidak bersalah dan tebusan sebagai perisai manusia – ia amat dahsyat dan ia adalah kejahatan,” katanya.
“Hati kami pilu melihat imej kanak-kanak kecil yang ditarik keluar dari bawah runtuhan.”
Von der Leyen memberitahu diplomat walaupun konflik memuncak, perlu ada ‘perspektif’ untuk penyelesaian dua negara.
Beliau menegaskan prasyarat sebaik sahaja pertempuran dihentikan ialah ‘Gaza tidak boleh menjadi tempat selamat bagi pengganas’ dan Hamas tidak akan lagi bertanggungjawab ke atas wilayah itu. – AFP