Eunhyuk beli rumah mewah, bahagiakan ibu sakit

Ahli kumpulan Super Junior, Eunhyuk baru-baru ini membuat pendedahan sebenar kenapa dia sanggup berbelanja besar dengan membeli sebuah kediaman mewah untuk diduduki bersama keluarganya.

Menurut Eunhyuk atau nama sebenarnya, Lee Hyuk Jae, 35, sanggup berbuat apa sahaja demi kebahagiaan ibunya yang kini sedang menderita penyakit ‘interstitial pneumonia’ yang melibatkan kesukaran bernafas.

Ibunya didiagnos penyakit tersebut pada 2017 dan doktor mengatakan ibunya hanya boleh bernafas menggunakan 37 peratus daripada paru-parunya.

“Pihak hospital cadangkan buat pembedahan pemindahan paru-paru, jika dia dapat paru-paru sesuai berkemungkinan ibu boleh hidup sehingga tujuh tahun lagi sekurang-kurangnya.

“Sejujurnya, alasan kuat saya untuk tinggal dengan keluarga adalah di-sebabkan kesihatan ibu yang semakin merosot.

Eunhyuk beli rumah agam demi bahagiakan ibu bapa. – Agensi

“Doktor tidak dapat memberikan jangkaan tepat berapa lama lagi masa ibu boleh bertahan tapi mereka sudah beritahu untuk kami sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan itu,” katanya dalam program Mr. House Husband Season 2 yang ditayangkan baru-baru ini.

Eunhyuk berkata sekarang adalah masa yang terbaik untuknya kembali meluangkan masa bersama keluarga memandangkan sebelum ini dia sentiasa sibuk dengan urusan kerja bersama Super Junior.

“Ketika saya sibuk dengan Super Junior, saya terpaksa berjauhan dengan ibu bapa saya selama hampir 20 tahun dan banyak yang saya tidak dapat bantu mereka pada ketika itu.

“Kini adalah masa terbaik untuk saya menebusnya dengan sentiasa menjadi tunggak untuk keluarga kami,” ujarnya lagi.

Super Junior yang popular dengan lagu Sorry, Sorry dan Mr Simple mula bertapak pada tahun 2005 dan masih lagi aktif sehingga kini. – Agensi