Euro 2020: Pelonggaran kekangan virus cetus kebimbangan WHO

COPENHAGEN, 23 JUN – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hari ini menyuarakan kerisauan berikutan kelonggaran sekatan terhadap COVID-19 di beberapa perlawanan bola sepak Euro 2020, sambil beberapa kawasan mula menunjukkan peningkatan kes baharu.

“WHO sedar dan risau dengan langkah melonggarkan sekatan terhadap wabak itu di beberapa negara tuan rumah,” kata Pengarah Eksekutif Pejabat Wilayah WHO di Eropah, Robb Butler kepada AFP.

“Beberapa tuan rumah kejohanan meningkatkan jumlah penonton ke stadium untuk menyaksikan perlawanan,” kata Butler.

WHO tidak menyebut bandar raya terbabit, tetapi Selasa lalu, Britain mengumumkan lebih 60,000 penyokong akan dibenarkan memasuki Stadium Wembley di London untuk aksi separuh akhir dan final kejohanan itu.

Pada asalnya, hanya 40,000 penyokong dibenarkan masuk ke stadium.

“Di beberapa negara tuan rumah, kes COVID-19 meningkat semula di kawasan perlawanan diadakan,” kata Butler.

“Belajar daripada pengalaman, kita mesti bertindak pantas sebaik ada petanda peningkatan kes. Meningkatkan jumlah calitan, mengesan kontak dan meneruskan pengambilan vaksin dengan pantas antara langkah tepat dan penting apabila berisiko,” katanya. – AFP

Gambar fail pada 15 Jun menunjukkan aksi penyokong Portugal yang hadir menyaksikan perlawanan antara Portugal dan Hungary di Puskas Arena. – AP