Euro: Belanda, Denmark ke suku akhir

DEVENTER, 25 Julai – Pasukan tuan rumah, Belanda telah menewaskan jiran mereka, Belgium 2-1 untuk mara ke suku akhir Euro wanita bersama Denmark, yang menewaskan Norway 1-0 dalam Kumpulan A.

Di Tilburg, Sherida Spitse menyudahkan satu penalti, keduanya dalam dua perlawanan, pada minit ke-27 bagi memberikan Belanda pendahuluan selepas Maud Coutereels menjatuhkan Jackie Groenen dalam petak.

Tessa Wullaert telah menyamakan kedudukan buat Belgium pada minit ke-59 dengan tendangan melambung melepasi jangkauan penjaga gol Belanda, Sari van Veenendaal.

Tetapi Lieke Martens telah membantu pasukan tuan rumah mengekalkan rekod tiga kemenangan dengan rembatan yang terbias oleh pemain pertahanan Heleen Jaques, menewaskan penjaga gol Justien Odeurs.

Sementara itu di Deventer, pemain Denmark Katrine Veje menemui sasaran pada minit kelima, menewaskan penjaga gol Norway, Ingrid Hjelmseth selepas menerima umpanan gol dari Pernille Harder.

Pemain Belanda, Sherida Spitse (kanan) ketika menyudahkan sepakan penalti bagi memberikan Belanda pendahuluan 1-0 ke atas Belgium di kejohanan Euro wanita. - AFP
Pemain Belanda, Sherida Spitse (kanan) ketika menyudahkan sepakan penalti bagi memberikan Belanda pendahuluan 1-0 ke atas Belgium di kejohanan Euro wanita. – AFP

Norway mensia-siakan satu sepakan penalti di akhir separuh masa pertama apabila penjaga gol Denmark, Stina Lykke Petersen berjaya menafikan Caroline Graham Hansen susulan faul ke atas penyerang Ada Hegerberg.

Denmark menamatkan kempen kumpulan di tempat kedua dengan enam mata, di depan Belgium dengan tiga mata dan Norway, yang mara ke peringkat kalah mati sejak 1997, gagal meraih sebarang mata.

Belanda menguasai perlawanan di sepanjang pertemuan itu, dengan Martens mula membuat percubaan seawal minit ke-11.

Belgium, bermain bagi kejohanan Eropah pertama mereka, mungkin menyamakan kedudukan lebih awal tetapi Janice Cayman menyaksikan percubaannya melepasi gawang selepas rehat.

Di saat-saat akhir, Davina Philtjens membuat percubaan sepakan percuma melepasi gawang Belanda, percubaan kaki kiri Wullaert pula ditepis keluar Van Veenendaal dan Jaques menyaksikan tandukannya dikeluarkan di atas garisan. – AFP