KUALA LUMPUR, 13 Mac – Penyedia e-pembayaran global, Euronet Services India Pvt Ltd dan Infinitium Holdings Pvt Ltd, bekerjasama untuk menggabungkan inovasi teknologi dalam talian dalam perkhidmatan kewangan dan sektor runcit di India.
Menerusi kerjasama itu, Euronet akan memanfaatkan teknologi Infinitium yang berbeza untuk pengesahan dalam talian dan kebenaran bersama berdasarkan pengetahuannya dalam pasaran India.
Infinitium ialah penyedia penyelesaian pembayaran serantau yang beroperasi di Malaysia, khusus dalam pelbagai penyelesaian menyeluruh secara elektronik dan perkhidmatan pengesahan bagi Internet dan aplikasi mudah alih.
Pengarah Urusan Euronet India dan Asia Selatan Himanshu Pujara berkata industri e-Dagang India telah menyaksikan pertumbuhan meluas sejak beberapa tahun kebelakangan ini, yang dijangkakan berterusan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
“Kami sedang mengkaji untuk mengeksploitasi peluang ini bagi membolehkan transaksi dalam talian menerusi perkhidmatan bertaraf dunia yang menawarkan platform yang patuh pengesahan serta berskala,” katanya menerusi kenyataan bersama hari ini. – Bernama