HONG KONG, 26 April – Pasukan China Guangzhou Evergrande mungkin menghadapi tindakan disiplin selepas peminat mereka mengibarkan kain rentang anti kemerdekaan yang mengecam ‘anjing Britain’ ketika satu perlawanan di Hong Kong.
Kain rentang besar, yang berkata ‘Hapuskan anjing Britain, musnahkan racun kemerdekaan HK’ dalam bahasa Cina, dipamerkan ketika kemenangan Evergrande 6-0 ke atas Eastern Hong Kong dalam perlawanan Liga Juara-Juara AFC lewat semalam.
Gabungan Bola Sepak Asia berkata hari ini ia sedang menunggu laporan pesuruhjaya perlawanan sebelum membuat ‘penilaian fakta sepenuhnya’.
Kod etika Artikel 58 berkata kelab akan dipaksa bermain dalam sekurang-kurangnya dua perlawanan di sebalik pintu tertutup berhubung mana-mana ‘perkataan atau perbuatan’ yang kasar oleh peminat mereka yang membabitkan pendapat politik atau asal-usul negara.
Penonton individu akan diharamkan daripada stadium selama dua tahun minimum atas kesalahan yang dilakukan, kata kod.

Persatuan bola sepak Hong Kong memberitahu wartawan ia sedang menyiasat kain rentang berkenaan, di mana gambarnya dikongsi di media sosial.
Bekas jajahan Britain itu menjadi wilayah separa autonomi China 20 tahun lalu, namun perasaan kemerdekaan telahpun meningkat ekoran bantahan besar-besaran ke atas Beijing.
Perlawanan semalam berlangsung dalam suasana tidak menyenangkan di Mongkok, tempat berlakunya rusuhan tahun lalu yang membabitkan beberapa aktivis pro-kemerdekaan.
Peminat kedua-dua pasukan mengeluarkan kata-kata lucah sambil menunjukkan jari tengah, dengan peminat Evergrande terdengar melaungkan ‘Pengkhianat!’ – AFP