Eversendai peroleh kontrak RM406 juta

KUALA LUMPUR, 10 Jan – Eversendai Corp Bhd memperoleh kontrak baharu bernilai RM406 juta menerusi kumpulan syarikatnya di Singapura, India dan Qatar.

Kontrak itu meliputi projek kemudahan pengkomputeran dan pemprosesan data berteknologi tinggi di Singapura, bangunan sekretariat yang canggih merangkumi dua menara 45 tingkat di India serta kerja-kerja struktur sokongan jeriji bagi binaan gerbang di Lebuhraya Lusail di Qatar.

Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri A K Nathan berkata pihaknya menyedari bahawa persekitaran perniagaan perlu diuruskan berdasarkan aliran semasa dan kitaran ekonomi global. “Kami akan menumpukan bagi membangunkan perniagaan tanpa mengetepikan falsafah dan nilai asas kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nilai tender Eversendai bagi perniagaan utamanya kini berjumlah RM10 bilion manakala nilai perolehan kontrak dalam tangan berjumlah kira-kira RM2.5 bilion.

Setakat rehat tengah hari ini, saham Eversendai Corp susut 2.5 sen kepada 67.5 sen, dengan 1.22 juta saham diniagakan. – Bernama