Everton benam Burnley, kongsi kedudukan teratas liga

LIVERPOOL, 14 SEPT – Everton melonjak ke kedudukan teratas berkongsi mata dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris selepas kembali bangkit daripada ketinggalan untuk menundukkan Burnley 3-1, kelmarin.

Ben Mee meletakkan pasukan pelawat di hadapan dalam pertemuan di Goodison Park sebelum tiga gol pantas dalam tempoh enam minit selepas sejam perlawanan berlangsung sekali gus meneruskan permulaan cemerlang Everton di bawah kendalian Rafael Benitez.

Tandukan hasil Michael Keane menembusi gawang Burnley berjaya menyamakan kedudukan sebelum dua pemain pembelian baharu Benitez iaitu Andros Townsend dan Demarai Gray mengubah kedudukan jaringan.

The Toffees berjaya mengutip 10 mata daripada empat perlawanan liga setakat ini di bawah pimpinan pengurus Sepanyol dan melonjakkan kedudukan mereka bersama-sama seteru rapat Liverpool, Chelsea dan Manchester United.

Kebangkitan Everton lebih mengagumkan selepas mereka beraksi tanpa penyerang utama Dominic Calvert-Lewin. Benitez mengesahkan sebelum perlawanan bahawa pemain kebangsaan England itu diketepikan sehingga Oktober disebabkan kecederaan patah tulang ibu jari kaki dan kecederaan paha.

Aksi Michael Keane merebut bola daripada kawalan Chris Wood semasa pertemuan di Goodison Park, kelmarin. – AP

Pasukan tuan rumah kehilangan tonggak utama mereka, Calvert-Lewin yang pada kebiasaannya memberi ancaman di bahagian serangan di mana Burnley beraksi lebih baik pada separuh masa pertama.

Chris Wood dan Mee kedua-duanya terlepas peluang, sementara Jordan Pickford menafikan percubaan Ashley Westwood.

Mee tidak melakukan kesilapan berulang lapan minit selepas separuh masa bersambung ketika Johann Berg Gudmundsson membuat hantaran lintang dan ketua pasukan The Clarets itu berjaya menyudahkan bola menembusi gawang lawan dari jarak dekat.

Tetapi Burnley dihukum selepas memberikan Keane ruang untuk menanduk masuk bola hantaran lintang Townsend.

Ramai peminat Everton meragukan pelantikan Benitez disebabkan sejarah pengurus tersebut yang pernah mengendalikan Liverpool sebelum ini. – AFP