LONDON, 18 Sept – Penandatanganan Romelu Lukaku dari Everton berbaloi apabila menyaksikannya menjaringkan gol dan mencipta satu umpanan gol dalam kemenangan 4-0 Manchester United ke atas bekas kelabnya semalam, dengan United menyertai Manchester City di persada Liga Perdana.
United berada di kedudukan kedua dalam carta liga dengan kedua kelab Manchester berkongsi statistik yang sama selepas lima perlawanan.
Juara Chelsea mengutip 10 mata, ketinggalan tiga mata di belakang dua pendahulu liga, selepas seri 0-0 di gelanggang sendiri kepada Arsenal, keputusan seri tanpa jaringan yang pertama di Stamford Bridge di bawah kendalian Antonio Conte.
United berbangga dengan kedudukan jaringan akhir, tiga gol dalam masa 10 minit terakhir selepas Everton sebahagian besarnya mendominasi separuh masa kedua, tetapi pengurus Jose Mourinho lebih berpuas hati.
“Saya fikir persembahan sangat bagus, terutamanya dalam 30-35 minit pertama, ia mungkin persembahan terbaik kami setakat ini,” kata Mourinho kepada Sky Sports.

“Kami memberikan mereka tekanan dan mereka tidak mempunyai peluang untuk keluar, mereka gagal menghasilkan percubaan, ia sangat hebat.”
Bagi Everton dan pengurus Ronald Koeman, yang telah membelanjakan 152 juta pound dalam musim tertutup, ia semakin pantas menjadi satu krisis kerana ia adalah kekalahan keempat berturut-turut dan di mana mereka gagal menjaringkan sebarang gol.
Pengurus dari Belanda itu sedaya upaya memberikan komen positif untuk pasukannya.
“Daripada apa yang saya lihat pada pasukan hari ini (semalam) ia membuatkan saya gembira,” katanya kepada Sky Sports.
“Lebih gembira berbanding pada Khamis (mereka tewas kepada pasukan Serie A, Atalanta dalam Liga Europa).
“Kami semakin bermain dengan yakin dalam perlawanan dan tidak banyak pasukan akan mendapat dua peluang keemasan seperti yang kami peroleh hari ini (semalam). Kami gagal menjaringkan gol dan selepas beberapa kesilapan individu, jaringan sudah menjadi 2-0.” – AFP