Everton ikat Andros Townsend

LONDON, 21 JULAI – Everton telah menandatangani bekas pemain sayap England, Andros Townsend (gambar) menerusi perjanjian dua tahun, umum kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu semalam.

Townsend, 30, pemain bebas selepas kontraknya bersama Crystal Palace tamat pada hujung musim lalu.

Perpindahan ke Merseyside akan menyaksikan Townsend kembali bergandingan dengan pengurus baharu Toffees, Rafael Benitez, selepas pernah beraksi di bawah bimbingan pengurus dari Sepanyol itu ketika di Newcastle.

“Saya fikir semua orang tahu kelab Everton,” kata Townsend dalam satu kenyataan.

“Sebuah kelab yang besar, mempunyai cita-cita, kelab yang cuba untuk kembali di tempat mereka yang sepatutnya iaitu Eropah dan seterusnya.

Saya akan melakukan semua yang termampu untuk membantu kelab menyempurnakannya.”

Pelantikan Benitez mendapat tentangan peminat Everton yang memandangkan dia pernah membimbing pasukan pesaing setempat mereka Liverpool.

Townsend, bagaimanapun, berkata “Rafa sangat berpengalaman.

“Dia melakukan banyak usaha dalam aspek taktikal semasa latihan di padang, dia mahir dalam kerjanya.

“Tetapi yang paling penting, dia seorang lelaki yang hebat, seorang pengurus yang baik dan dia sentiasa bercakap dengan anda. Saya pasti dia boleh berjaya di kelab ini.” – AFP