Thursday, April 18, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    EVJTF kongsi perkembangan projek EV

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OGOS – Setakat ini, sebanyak 19 kenderaan elektrik (EV) telah didaftarkan di Negara Brunei Darussalam dengan pemilik menggunakan unit pengecasan rumah untuk mengecas kenderaan mereka.

    Jawatankuasa Bersama Kenderaan Elektrik (EVJTF) dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini telah mengongsikan perkembangan Projek Perintis EV yang telah dilancarkan pada Mac 2021 dan dirancang untuk dijalankan bagi tempoh dua tahun sehingga Mac 2023.

    Bertemakan ‘Memacu ke arah Negara yang Lebih Hijau’, projek tersebut bertujuan untuk meneroka cara untuk mengurangkan lagi jejak karbon dalam sektor pengangkutan darat.

    Menurut jawatankuasa berkenaan, sejak pelancaran projek itu, beberapa semakan dasar utama dan program sokongan telah dirancang.

    Salah satu dasar insentif yang dilaksanakan adalah pemilik EV akan dikecualikan daripada membayar yuran lesen kenderaan tahunan untuk tempoh dua tahun projek berkenaan.

    Manakala itu, pemasangan stesen pengecas pantas EV awam pertama telah dirancang untuk tahun ini.

    Jawatankuasa berkenaan menyatakan, mengukur pemilikan dan pengalaman pengguna awal EV berkenaan adalah sangat bernilai kepada projek perintis tersebut dan akan dilakukan dalam masa terdekat.

    Kajian Penggal Pertengahan Projek Perintis telah dijalankan awal tahun ini yang membantu mengenal pasti bidang strategik yang memerlukan perhatian dan penilaian lanjut.

    Bidang strategik itu termasuk penubuhan infrastruktur pengecasan yang mencukupi, kesan ke atas beban grid kuasa, kos kitaran hayat yang berkaitan dan tingkah laku pengguna.

    Sebagai sebahagian daripada proses sosialisasi yang berterusan, isu tematik EV juga telah dibincangkan semasa perbincangan panel yang diadakan pada 23 Jun lalu pada Minggu Tindakan Iklim, Acara Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun (MYCE) anjuran bersama Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan dan Kementerian Pembangunan melalui Sekretariat Perubahan Iklim Brunei, dengan sokongan daripada kementerian dan agensi-agensi lain yang berkaitan.

    Dengan kemajuan dalam teknologi EV, prospek bahawa kos boleh diturunkan dan pengeluar kenderaan mengembangkan tawaran model EV mereka pada harga yang kompetitif, memainkan peranan penting dalam menarik pengguna untuk membeli EV selain daripada keseluruhan pemilikan dan kos pengendalian.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Terumbu Sawar Besar alami pemutihan karang paling teruk

    CANBERRA, 17 APRIL - Sebahagian besar Terumbu Sawar Besar yang ikonik di Australia mengalami pemutihan karang pada musim panas 2023-24, menurut laporan kerajaan. Agensi kerajaan...