Evolusi Busana muslimah Indonesia

Indonesia Sharia Economic Festival (ISEF) kembali diadakan pada tahun ini dengan tema ‘New Normal Sustainable Fashion’ pada 27 hingga 30 Oktober 2021 di Pusat Konvensyen Jakarta dan juga secara maya.

Tema ISEF 2021 bertujuan menggiatkan konsep fesyen mampan dalam era normal baharu. Ia juga selaras dengan prinsip thayyiban yang membentuk sebahagian daripada gaya hidup halal.

Sustainable Muslim Fashion ISEF 2021 ini menampilkan 157 pereka fesyen busana, 41 jenama aksesori, 797 perancang Indonesia dan anggota Industri Kreatif Syariah Indonesia bahagian fesyen dan aksesori. Ia menampilkan koleksi dari Lina Sukijo, Jawhara Syari, Motif Hawa, Nibras, Hesandra Indonesia, Batik Beras Basah, Zabay Collection, Galeri Destiani dan banyak lagi.

Pengerusi Dewan Fesyen Indonesia, Ali Charisma menjelaskan tema tersebut juga merupakan respons terhadap keadaan pasaran dan isu kemampanan fesyen yang sedang berkembang pesat secara global.

“Dalam 10 tahun kebelakangan ini, dunia memang mengambil berat mengenai isu kemampanan.

“Melihat keadaan ini, saya berharap industri busana Muslim dapat menerapkan gaya hidup mampan disebabkan produk-produk busana muslim masih didominasi oleh bahan sintetik yang kurang mesra alam.”

Sementara itu, Pengarah Bahagian Ekonomi dan Kewangan Syariah Bank Indonesia, Ita Rulina mengatakan situasi pandemik COVID-19 merupakan momentum paling sesuai untuk kebangkitan kembali industri fesyen Indonesia, khususnya fesyen Muslim.

Menurutnya terdapat tiga perkara yang mampu mendorong kebangkitan fesyen Muslim di Indonesia, inovasi, penjenamaan fesyen mampan serta manfaat digitalisasi. – Agensi

Model-model memperagakan busana Muslim semasa pertunjukan fesyen Muslim di Indonesia Sharia Economic Festival di Jakarta pada 28 Oktober 2021. – AFP/Agensi